X

Kindly register in order to view this article
!

Lelaki maki, tampar polis direman

Lelaki berusia 55 tahun direman empat hari di Balai Polis Banda Hilir kerana memaki dan menampar seorang anggota polis trafik.
A
A

MELAKA TENGAH - Seorang lelaki direman empat hari bagi membantu siasatan dalam kes memaki dan menampar seorang anggota polis ketika sekatan jalan raya (SJR) di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) - Malim Jaya, petang semalam,

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, tempoh reman ke atas lelaki berusia 55 tahun dari Jalan Hang Jebat itu bermula hari ini.

"Siasatan lanjut terhadap lelaki itu dilakukan berhubung dakwaan mencederakan seorang anggota polis semasa bertugas ketika sekatan jalan raya," katanya.

Dalam kejadian jam 1.30 petang itu, seorang anggota polis trafik menyediakan satu lorong kecemasan untuk dilalui sebuah ambulans yang terperangkap dalam kesesakan jalan raya, bagaimanapun sebuah kereta jenis Proton Iswara Aeroback yang dipandu seorang lelaki telah menggunakan laluan kecemasan tersebut menyebabkan dia ditahan polis.

Dipercayai anggota tersebut meminta pemandu itu memandu kembali ke laluan utama Lebuh AMJ, namun suspek telah menghamburkan kata-kata kesat terhadap anggota polis terbabit kerana tidak berpuas hati dengan arahan tersebut.

Anggota polis tersebut difahamkan memanggil seorang rakan setugasnya untuk membantu menguruskan lelaki itu yang kemudian menampar muka kiri anggota terbabit hingga mengalami kecederaan dan terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Melaka.

Kes disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan dan Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawalan Tempatan Jangkitan) 2020.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus