Guru wanita cedera rempuh gajah, gading patah tiga bahagian

Impak perlanggaran itu menyebabkan salah satu gading haiwan berkenaan patah kepada tiga bahagian, manakala motosikal mangsa mengalami kerosakan teruk. Foto NDTV news
Impak perlanggaran itu menyebabkan salah satu gading haiwan berkenaan patah kepada tiga bahagian, manakala motosikal mangsa mengalami kerosakan teruk. Foto NDTV news
A
A
A

UTTARAKHAND - Seorang guru wanita cedera selepas motosikal ditunggangnya merempuh seekor gajah liar yang tiba-tiba melintas jalan di wilayah Khatima, Uttarakhand, India dalam kejadian pada Ahad.

Media tempatan melaporkan, impak perlanggaran itu menyebabkan salah satu gading haiwan berkenaan patah kepada tiga bahagian, manakala motosikal mangsa mengalami kerosakan teruk.

Kejadian berlaku di lebuh raya Khatima-Tanakpur antara kawasan Chakarpur dan Banbasa di daerah Udham Singh Nagar yang terkenal sebagai laluan aktif pergerakan gajah liar.

Ketika kejadian, mangsa, Nikita Kapri dilaporkan sedang dalam perjalanan ke Sekolah Awam Hind sebelum seekor gajah muda tiba-tiba keluar dari kawasan hutan untuk melintas jalan.

Menurut saksi, wanita itu tidak sempat mengelak sebelum merempuh haiwan berkenaan.

Perlanggaran kuat itu menyebabkan serpihan gading bertaburan di atas jalan raya dan kejadian tersebut turut mencetuskan panik dalam kalangan pengguna jalan raya.

Gajah terbabit dilaporkan hilang keseimbangan seketika sebelum melarikan diri semula ke dalam hutan.

Mangsa yang cedera pula berjaya diselamatkan orang awam sebelum dihantar ke hospital swasta berhampiran untuk mendapatkan rawatan.

Pihak polis dan Jabatan Hutan yang tiba di lokasi kemudian mengumpulkan serpihan gading terbabit untuk siasatan lanjut.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!