X

Kindly register in order to view this article
!

Dakwaan kerajaan pinggir masyarakat orang asli sepanjang PKP tak benar

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media di Bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan menafikan dakwaan pihak tertentu bahawa orang asli dipinggirkan dan tidak diberikan sebarang bantuan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Pembangunan Luar Bandar melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) telah melaksanakan agihan Bantuan Bakul Makanan kepada masyarakat orang asli sejak PKP dilaksanakan.

"Bantuan fasa pertama bermula 2 hingga 10 April diagihkan kepada sejumlah 49,670 ketua isi rumah di 853 buah perkampungan orang asli di seluruh negara bernilai RM5 juta.

"Bantuan fasa kedua akan bermula pada 10 April 2020 dengan penambahan penerima kepada 55,000 ketua isi rumah melibatkan peruntukan RM6 juta," katanya.

Beliau berkata, bantuan fasa kedua merupakan sambungan daripada agihan fasa pertama dengan penambahan kepada keluarga yang berpindah-randah dan tinggal di kampung tambahan.

"Jelas tidak ada peminggiran terhadap orang asli seperti yang didakwa," katanya.

Mengulas mengenai dakwaan di media sosial yang mengatakan bekalan makanan atau bantuan tidak sampai kepada mereka yang memerlukan, Ismail Sabri berkata, orang ramai dinasihatkan agar melaporkan kepada pemimpin masyarakat setempat seperti wakil rakyat dan ketua kampung.

"Pemimpin masyarakat pula memanjangkan masalah yang dihadapi kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus