Buang puntung rokok merata-rata, 21 pesalah jalani hukuman PKM bawah Akta 672

KUALA LUMPUR – Seramai 21 pesalah berusia antara 20 hingga 50 tahun diperintahkan mahkamah menjalani Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).
Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp, Khalid Mohamed berkata, kesalahan utama membabitkan pembuangan puntung rokok merekodkan jumlah tertinggi dengan 18 kes, sementara tiga lagi melibatkan kesalahan lain.
Menurutnya, 15 pesalah terdiri daripada warganegara tempatan, manakala enam lagi bukan warganegara.
“Pelaksanaan PKM dilaksanakan di Jalan Metro Prima 5, Kepong Entrepreneurs dengan membawa mesej pencegahan yang jelas kepada masyarakat selain bertujuan membentuk sikap tanggungjawab dan kesedaran terhadap kebersihan awam,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
“SWCorp Wilayah Persekutuan melaksanakan PKM di bawah Akta 672 sebagai langkah penguatkuasaan berimpak tinggi bagi membanteras kesalahan pembuangan sampah kecil di tempat awam,” katanya.
Tambahnya, bagi pecahan lokasi kesalahan, Kuala Lumpur mencatatkan 18 kes manakala Putrajaya sebanyak tiga kes, dengan denda yang dikenakan terhadap pesalah pula antara RM300 hingga RM1,500 mengikut kesalahan dilakukan.
“Tempoh hukuman PKM yang dijalankan adalah selama empat jam tugasan bagi setiap pesalah dan perlu diselesaikan dalam tempoh satu bulan daripada tarikh perintah mahkamah.
“Sepanjang pelaksanaan hukuman, pesalah ditugaskan menjalankan kerja pembersihan termasuk menyapu kawasan, mengutip sampah dan membersihkan longkang di kawasan awam,” ujarnya.
Sebelum ini, SWCorp mengeluarkan sebanyak 7,919 Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) di tujuh negeri di bawah Akta 672 melibatkan 5,708 warganegara tempatan dan 2,211 warganegara asing.
SWCorp Wilayah Persekutuan pula mengeluarkan sebanyak 1,292 NPK di empat cawangan di bawah Akta 672 melibatkan 695 warganegara tempatan dan 597 warganegara asing.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

