Ikan baru dilepaskan ke sungai untuk pemuliharaan habis ditangkap penduduk

JAKARTA – Tindakan penduduk berebut menangkap ikan yang baru dilepaskan ke sungai di Wonogiri, Jawa Tengah mencetuskan perhatian dan menjadi tular di media sosial.
Rakaman video kejadian menunjukkan orang ramai membawa jaring, penyauk dan baldi untuk menangkap ikan yang baru dilepaskan ke Sungai Timang di Desa Wonokarto.
Program pelepasan ikan itu dilakukan syarikat PT Prima Paper Indonesia (PPI) pada 16 Mei lalu sebagai sebahagian usaha pemuliharaan ekosistem sungai menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Bagaimanapun, tidak lama selepas kira-kira 250 kilogram induk ikan bawal air tawar dilepaskan, penduduk dilihat terus turun ke sungai untuk menangkap ikan terbabit, bahkan belum sempat ikan berkenaan masuk ke dalam sungai haiwan itu sudah ditangkap.
Insiden itu mengundang pelbagai reaksi lucu dan sindiran netizen di media sosial.
Pihak Jabatan Ketahanan Makanan, Kelautan dan Perikanan (DKPKP) Wonogiri berkata, individu yang menangkap ikan tersebut bukan penduduk yang dijemput menyertai program berkenaan.
Menurut pegawai DKPKP, Suryo, orang ramai dipercayai terlalu teruja dan tidak memahami bahawa ikan tersebut dilepaskan untuk tujuan pembiakan dan pemuliharaan.
Beliau berkata, syarikat itu sudah tiga kali menjalankan program pelepasan ikan tahun ini iaitu pada 7 Mac, 17 Mac dan 16 Mei.
DKPKP turut mencadangkan penggunaan benih ikan berbanding induk ikan pada masa depan bagi mengelakkan kejadian sama berulang kerana benih lebih sukar ditangkap segera.
PT PPI dilaporkan telah memohon maaf berhubung insiden tular itu dan berjanji akan melakukan penambahbaikan selain bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk memberi pendidikan kepada masyarakat mengenai kepentingan pemuliharaan sungai. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

