PERKASA bantah penggunaan bahasa asing dalam urusan di klinik KKM

PERKASA kesal dan membantah keras tindakan pihak klinik mengeluarkan buku temu janji kesihatan menggunakan bahasa Mandarin sepenuhnya, tanpa sebarang terjemahan atau versi Bahasa Melayu. Gambar kecil: Borhan
PERKASA kesal dan membantah keras tindakan pihak klinik mengeluarkan buku temu janji kesihatan menggunakan bahasa Mandarin sepenuhnya, tanpa sebarang terjemahan atau versi Bahasa Melayu. Gambar kecil: Borhan
A
A
A

SHAH ALAM - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) membantah penggunaan bahasa asing dalam buku temu janji kesihatan yang merupakan urusan melibatkan agensi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Pemangku Presiden PERKASA, Borhan Ahmad Zakaria berkata, pihaknya kesal dan membantah keras tindakan pihak Klinik Kesihatan Sri Rampai/Setapak Health Clinic mengeluarkan buku temu janji kesihatan menggunakan bahasa Mandarin sepenuhnya, tanpa sebarang terjemahan atau versi Bahasa Melayu.

"PERKASA berpandangan perkara tersebut jelas melanggar Perlembagaan Persekutuan. Perkara 152 jelas menyatakan Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara serta digunakan dalam semua dokumen rasmi kerajaan Malaysia.

"Klinik kerajaan dan kemudahan kesihatan awam yang dibiayai wang rakyat wajib menggunakan bahasa kebangsaan dalam urusan rasmi, termasuk dokumen dan rekod pesakit. Sejak bila pula Mandarin menjadi bahasa kebangsaan? Malaysia bukan China," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Media melaporkan sebuah klip video berdurasi 1 minit 27 saat dimuat naik ke platform TikTok oleh pemilik akaun @shah.faza yang mendakwa perkara tersebut (kad temu janji kesihatan berbahasa Mandarin) dipolitikkan sedangkan kesihatan adalah isu rakyat.

Sementara itu, menurut Borhan, KKM perlu memandang serius perkara itu dan tidak mengaitkan sentimen politik dalam urusan penyampaian perkhidmatan di klinik kerajaan.

KKM menerusi maklum balas di Threads @kementeriankesihatanmalaysia mengucapkan terima kasih kepada pihak yang mengetengahkan isu tersebut dan memberitahu pihaknya sedang menyemak dan akan mengambil tindakan sewajarnya.

Perkongsian tersebut meraih perhatian ramai selepas diulang siar di platform Threads kerana kad janji temu pesakit yang kebiasaannya menggunakan bahasa Melayu atau Inggeris, dicetak dalam bahasa Mandarin.

Borhan berkata, negara kita hanya ada satu bahasa kebangsaan iaitu Bahasa Melayu dan tindakan mencetak buku temu janji hanya dalam Mandarin memberi isyarat seolah-olah pesakit Melayu dan Bumiputera di Setapak, Kuala Lumpur ini warganegara kelas dua di tanah air sendiri.

Artikel Berkaitan:

"Perkara ini menjejaskan akses dan kefahaman rakyat. Ramai warga emas dan pesakit luar bandar yang datang ke klinik kerajaan tidak membaca Mandarin.

"Mereka berhak memahami tarikh, masa, dan arahan temu janji dalam bahasa yang mereka kuasai. Ini bukan soal perkauman, ini soal hak asasi dan perkhidmatan awam yang adil," katanya.

Mengulas lanjut Borhan berkata, pihaknya menuntut pihak klinik segera menghentikan penggunaan buku temu janji yang hanya menggunakan bahasa Mandarin.

Tambahnya lagi, sebaiknya buku temu janji tersebut digantikan dengan temu janji dwibahasa, Bahasa Melayu sebagai bahasa utama dan terjemahan Inggeris jika perlu.

"Kami menuntut pihak berkenaan memberi penjelasan bertulis dalam tempoh tujuh hari mengapa perkara ini berlaku.

"Kegagalan pihak klinik mematuhi perkara di atas akan memaksa kami membawa isu ini ke peringkat KKM dan Parlimen. Wang rakyat digunakan untuk melayani rakyat Malaysia, bukan untuk mempromosikan bahasa asing sebagai pengganti bahasa kebangsaan," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!