Rupiah jatuh ke paras terendah, kenyataan Prabowo cetus kritikan

JAKARTA – Nilai mata wang rupiah Indonesia jatuh ke paras terendah dalam sejarah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap ekonomi negara itu walaupun Presiden Indonesia, Prabowo Subianto cuba meredakan keadaan.
Rupiah dilaporkan merosot kepada 17,720 rupiah bagi setiap AS$1 pada Selasa, menjadikannya antara mata wang Asia paling lemah tahun ini.
Pada hari sama, indeks utama saham Indonesia, Jakarta Composite Index (JCI) turut menjunam 3.46 peratus selepas beberapa syarikat tempatan disingkirkan daripada indeks global utama termasuk MSCI dan FTSE Russell.
Ketika berucap di hadapan penduduk kampung di Jawa Timur pada Sabtu, Prabowo menyifatkan 'amaran ketakutan' mengenai keadaan ekonomi Indonesia sebagai keterlaluan.
“Ada orang asyik berkata Indonesia akan runtuh dan huru-hara. Rupiah begini, dolar begitu.
“Penduduk kampung tidak guna dolar. Yang pening kepala ialah mereka yang suka melancong ke luar negara,” katanya.
Beliau turut menegaskan ekonomi Indonesia masih kukuh dan tiada apa yang perlu dibimbangkan selagi Menteri Kewangan, Purbaya Yudhi Sadewa masih 'tersenyum'.
Kenyataan Prabowo bagaimanapun menerima kritikan hebat daripada ahli ekonomi dan pengguna media sosial yang menyifatkan beliau seolah-olah menafikan kesan sebenar kejatuhan rupiah terhadap rakyat biasa.
Ramai mengingatkan Indonesia masih bergantung kepada import bagi barangan asas harian seperti kacang soya, gandum dan bawang putih yang dibayar menggunakan dolar AS.
Seorang pengguna media sosial menyindir penduduk kampung mungkin tidak menggunakan dolar secara langsung, namun mereka tetap makan tempe berasaskan kacang soya import dari AS.
Menurut data kerajaan Indonesia, negara itu mengimport kira-kira 2.4 juta tan kacang soya setiap tahun berbanding permintaan domestik sebanyak 2.7 juta tan.
Ahli ekonomi dari Institut Penyelidikan Aspirasi Indonesia, Yanuar Rizky menyifatkan kenyataan Prabowo sebagai terlalu yakin dan tidak menggambarkan realiti sebenar rakyat.
Beliau merujuk data Pihak Berkuasa Perkhidmatan Kewangan Indonesia yang menunjukkan hutang rakyat kepada pemberi pinjaman dalam talian mencecah 103.03 trilion rupiah (RM23 bilion) setakat Mac lalu.
Menurutnya, ramai rakyat sudah menghabiskan simpanan mereka untuk menampung kos hidup akibat inflasi.
“Lebih baik kerajaan mengakui negara sedang berdepan tekanan bagi membina keyakinan pelabur.
“Sekarang mereka seolah-olah langsung tiada rasa krisis,” katanya.
Purbaya bagaimanapun memberi jaminan Indonesia tidak akan mengulangi krisis kewangan Asia 1997-1998 walaupun rupiah terus lemah.
Katanya, kerajaan dan bank pusat akan campur tangan dalam pasaran bon bagi menstabilkan mata wang serta mengurangkan aliran keluar modal asing.
Kerajaan Indonesia menyasarkan suntikan harian melebihi AS$113 juta (RM449 juta) ke dalam pasaran bon bagi meningkatkan sentimen pelabur.
Penyelidik Centre of Reform on Economics Indonesia, Yusuf Rendy Manilet berkata, sektor pembuatan negara kini berdepan tekanan besar kerana hampir 90 peratus import Indonesia terdiri daripada bahan mentah dan barangan modal.
Menurutnya, industri yang gagal menyerap kenaikan kos bahan mentah akhirnya akan memindahkan beban tersebut kepada pengguna.
“Semua masyarakat sama ada di bandar atau kampung akan terkesan,” katanya.
Beliau turut memberi amaran rupiah mungkin terus merosot dalam beberapa minggu akan datang susulan tekanan harga minyak, ketegangan geopolitik dan kebimbangan terhadap perbelanjaan kerajaan Indonesia.-Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

