Rupiah terus merosot lepasi paras RP17,700, indeks komposit Indonesia susut

Rupiah susut sebanyak 37 mata atau 0.21 peratus kepada 17,743 rupiah berbanding dolar AS pada pagi ini selepas ditutup pada paras 17,706 semalam. Foto hiasan
Rupiah susut sebanyak 37 mata atau 0.21 peratus kepada 17,743 rupiah berbanding dolar AS pada pagi ini selepas ditutup pada paras 17,706 semalam. Foto hiasan
A
A
A

JAKARTA - Mata wang rupiah Indonesia meneruskan kemerosotan pada Rabu, jatuh melepasi paras 17,700 rupiah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) di tengah-tengah permintaan kukuh terhadap mata wang negara maju itu selain kenaikan harga minyak global.

Rupiah susut sebanyak 37 mata atau 0.21 peratus kepada 17,743 rupiah berbanding dolar AS pada pagi ini selepas ditutup pada paras 17,706 semalam.

Menteri Koordinator Bidang Perekonomian Indonesia, Airlangga Hartarto berkata, permintaan kukuh terhadap dolar AS merupakan antara faktor utama penyusutan ketara yang dicatatkan oleh rupiah.

"Faktor global sangat mempengaruhi dan seperti yang saya katakan sepanjang bulan ibadah haji ini, permintaan terhadap dolar AS juga tinggi,” katanya sepertimana dilaporkan Agensi Berita ANTARA pada malam semalam.

Airlangga berkata, permintaan terhadap dolar AS pada masa ini turut disebabkan oleh pembayaran dividen korporat berikutan musim pelaporan kewangan tahunan.

Pada masa sama, katanya, tekanan terhadap rupiah turut diasak oleh kenaikan harga minyak global di tengah-tengah ketegangan AS dan Iran yang berlanjutan.

"Selepas laporan kewangan itu, pembayaran dividen itu kebanyakannya juga dalam bulan-bulan ini. Jadi memang permintaan (terhadap dolar AS) tinggi. (Ini ditambah pula) harga minyak yang masih naik,” katanya.

Airlangga berkata, gabungan permintaan kukuh terhadap dolar AS serta kenaikan harga minyak, telah mencetuskan tekanan luaran yang ketara terhadap rupiah.

Beliau bagaimanapun optimis rupiah akan kembali mengukuh pada separuh kedua 2026.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Indeks Harga Saham Gabungan atau Indeks Komposit Indonesia (IHSG) turun 18.48 mata atau 0.29 peratus kepada 6,352.20 pada pembukaan sesi dagangan hari ini.

Indeks LQ45 yang menjejaki prestasi 45 saham-saham utama, naik 0.19 points atau 0.03 peratus kepada 635.01. - Bernama

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!