PKP: Anak muda bangkit bantu penduduk memerlukan

Bantuan disampaikan kepada penduduk yang memerlukan atau tercicir daripada bantuan makanan.
Bantuan disampaikan kepada penduduk yang memerlukan atau tercicir daripada bantuan makanan.
A
A
A

KOTA BHARU - Prihatin dengan nasib segelintir penduduk yang tercicir bantuan bekalan makanan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sekumpulan anak muda dari Mukim Tok Ku Pulau Melaka mengambil inisiatif mengagihkan sumbangan.

Mereka yang melibatkan10 orang dari pelbagai latar belakang diketuai Nik Abdul Aziz Nik Din, 35.

Nik Abdul Aziz berkata, sumbangan seperti beras, minyak masak, tepung, biskut dan gula itu diberikan kepada golongan sasar iaitu isi rumah yang tercicir daripada bantuan atau tiada pendapatan sepanjang tempoh PKP.

Menurutnya, bekalan makanan itu dibeli hasil sumbangan dana secara peribadi oleh anak-anak muda yang berkerjaya di kampung sekitar.

“Kebanyakan penduduk di kawasan ini bergantung kepada pendapatan harian dan berpendapatan tidak tetap. Mereka tidak bergaji menyebabkan keadaan mereka terjejas ketika ini.

“Ramai yang terjejas ketika ini dan ada yang terlepas pandang serta tidak menerima bantuan atau tidak cukup barangan keperluan makanan, itu yang kita bantu agar dapat meringankan sedikit beban ditanggung mereka,” katanya ketika ditemui di Kampung Tok Ku Sering, Kedai Lalat di sini.

Bekalan makanan yang dibeli menggunakan dana yang disumbangkan secara peribadi oleh anak-anak muda yang berkerjaya di kampung sekitar.
Bekalan makanan yang dibeli menggunakan dana yang disumbangkan secara peribadi oleh anak-anak muda yang berkerjaya di kampung sekitar.

Dia berkata, mereka akur dengan arahan kerajaan supaya penyaluran sumbangan mesti melalui agensi yang dipilih termasuk badan bukan kerajaan (NGO) bagi mengelak jangkitan wabak koronavirus (Covid-19).

Artikel Berkaitan:

“Ada penduduk kampung yang tidak ada akses malah tidak ada telefon bimbit selain malu untuk mengambil bantuan tetapi memerlukannya.

“Sehubungan itu kami bertindak untuk menyampaikan bantuan tetapi tetap menghadkan hanya seorang yang akan menyerahkannya ke rumah-rumah dan menjaga jarak semeter bagi mengelakkan orang ramai keluar berkumpul untuk mendapatkan bantuan ini,” katanya.

Katanya, pihaknya juga akan berusaha menambah dana dan memastikan penduduk sekitar tidak tercicir daripada memperoleh bantuan itu.

“Sekiranya tempoh perlaksanaan PKP ini diteruskan, maka sumbangan ini juga akan diteruskan bagi membantu mereka meneruskan kehidupan sepanjang tempoh berkenaan,” katanya.

Nik Abdul Aziz (kanan) yang menjaga jarak dan mengenakan topeng muka ketika menyampaikan bantuan.
Nik Abdul Aziz (kanan) yang menjaga jarak dan mengenakan topeng muka ketika menyampaikan bantuan.