Jawapannya jelas, rakyat boleh nilai kenyataan Tony Pua - Zainul Rijal

Zainul Rijal
Zainul Rijal
A
A
A

SHAH ALAM - Jawapan sama ada kenyataan bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua berhubung institusi diraja boleh dianggap jelik, melampau, menghasut atau sekadar pandangan ilmiah dalam kerangka Perlembagaan sebenarnya sudah jelas dan boleh dinilai sendiri oleh rakyat.

Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, masyarakat sendiri mampu meneliti sama ada kenyataan tersebut dibuat secara berhemah dan bertanggungjawab atau sebaliknya berpotensi menimbulkan keresahan awam dan menjejaskan penghormatan terhadap institusi Raja-Raja.

"Pada pandangan saya secara umumnya, kenyataan Tony Pua berpotensi menjadi suatu kesalahan di sisi undang-undang sekiranya ia ditafsirkan sebagai menghina, merendahkan, menghasut kebencian, atau mencabar kewibawaan institusi diraja.

"Namun, penentuan sama ada sesuatu kenyataan itu benar-benar menjadi kesalahan bergantung kepada konteks penuh, cara ungkapan dibuat, niat penyampaiannya, serta kesannya terhadap ketenteraman awam dan penghormatan kepada institusi Raja-Raja," katanya dalam satu hantaran pada Rabu.

Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan Tony Pua menegaskan bahawa semua rakyat Malaysia perlu memahami Rukun Negara dan Perlembagaan Malaysia dengan teliti selaras dengan sistem raja berperlembagaan yang menjadi tunjang pentadbiran negara.

Menurut Tony Pua, Malaysia mengamalkan sistem raja berperlembagaan dan kuasa raja berbeza sedikit mengikut negeri.

Jelas Zainul Rijal, beberapa undang-undang di Malaysia boleh terpakai dalam isu melibatkan institusi diraja termasuk Akta Hasutan 1948, Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 sekiranya kenyataan itu disifatkan sebagai menghasut, melampau atau berpotensi menimbulkan keresahan awam.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan pengecualian boleh timbul sekiranya kenyataan itu dibuat secara ilmiah, berhemah, berlandaskan kerangka Perlembagaan, serta tidak mempunyai kecenderungan menghina atau memperlekeh institusi diraja.

"Perbincangan akademik mengenai konsep Raja Berperlembagaan, kuasa-kuasa Perlembagaan, dan prinsip kedaulatan undang-undang masih diiktiraf dalam ruang demokrasi berperlembagaan selagi disampaikan secara tertib dan bertanggungjawab," ujarnya lagi.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut mengingatkan penggunaan frasa tertentu termasuk ungkapan seperti 'bukan titah' boleh dianggap sensitif kerana berpotensi menimbulkan persepsi bahawa kedudukan dan kewibawaan Raja sedang dipersoalkan.

Menurutnya, dalam konteks ketatanegaraan Malaysia, aspek adab, kesantunan bahasa dan penghormatan terhadap institusi diraja tidak boleh dipisahkan daripada pertimbangan undang-undang.

Beliau turut memaklumkan bahawa Menteri Besar Selangor telah bersuara dan meminta siasatan dilakukan terhadap isu berkenaan.

Dalam hantaran lain, Zainul Rijal berharap satu tindakan dapat diambil segera, manakala rakyat di seluruh Malaysia sedang membuat laporan polis berhubung isu itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!