Tony Pua dakwa kuasa raja terhad pada aspek tertentu

Hantaran Tony Pua di Facebook pada Selasa.
Hantaran Tony Pua di Facebook pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM – Semua rakyat Malaysia perlu memahami Rukun Negara dan Perlembagaan Malaysia dengan teliti selaras dengan sistem raja berpelembagaan yang menjadi tunjang pentadbiran negara.

Bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua berkata, Malaysia mengamalkan sistem raja berperlembagaan dan kuasa raja berbeza sedikit mengikut negeri.

“Namun secara umumnya, kuasa raja adalah terhad kepada aspek-aspek tertentu seperti adat Melayu, Islam dan peranan perlembagaan seperti pelantikan Menteri Besar serta perkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri.

"Rakyat Malaysia tidak hidup dalam sistem di mana raja boleh mengeluarkan titah yang mengikat dan menggubal semua aspek kehidupan rakyat," katanya menerusi hantaran di Facebook, pada Selasa.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP berkata, sebaliknya negara ini mempunyai Parlimen dan Dewan Undangan Negeri yang dianggotai wakil rakyat dipilih oleh rakyat untuk membuat undang-undang dan keputusan tersebut.

Tambah beliau, perkara itu selaras sepenuhnya dengan Rukun Negara khususnya prinsip kedua, ketiga dan keempat iaitu Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang.

“Ya, saya setia kepada Raja dan Negara dan akan mematuhi Kedaulatan Undang-Undang mengikut Perlembagaan Persekutuan. Bukan titah,” katanya.

 

 

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!