[VIDEO] Dua individu didakwa bunuh Muhammad Zakir Fikry

KOTA BHARU – [DIKEMAS KINI] Dua individu dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Rabu atas pertuduhan membunuh seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) pembelajaran, Muhammad Zakir Fikry Mohd Zainal, 20, di Kampung Binjai, Banggu, di sini pada 13 April lalu.
Kedua-dua tertuduh, Muhammad Hakim Zikrullah Mohd Zamran, 25, dan Mohamed Eerman Daniel Mohamed Afrizal, 27, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid, namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua mereka secara bersama didakwa membunuh Muhammad Zakir Fikry di sebuah rumah di Kampung Binjai, Banggu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada jam 11 malam.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.
Kesalahan itu membawa hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun tetapi tidak lebih 40 tahun serta sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syamsul Ikhmal Ramli manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
ARTIKEL BERKAITAN: Ditemui berlumuran darah, pemuda OKU maut dipercayai dipukul
Lelaki OKU maut dengan kecederaan di kepala, kes diklasifikasi bunuh - Polis
'Kami hanya mahu tahu kenapa dia diperlakukan sebegitu' - Keluarga OKU maut dipukul
'Apa salah abang, kenapa pukul dia sampai mati?'
Majikan direman kes bunuh pemuda OKU lembam
Mahkamah menetapkan 6 Julai untuk sebutan semula kes.
Sementara itu, Muhammad Hakim Zikrullah dan Mohamed Eerman Daniel serta dua lagi individu iaitu Muhammad Arif Mohammad Zuki, 25, dan Muhammad Aiman Shah Mohammad Azizi, 26, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan melupuskan mayat seorang lelaki yang dipercayai menjadi mangsa bunuh di Kampung Chap Bekelam bulan lalu.

Kesemua tertuduh didakwa bersama-sama menyebabkan kehilangan keterangan berhubung kesalahan bunuh terhadap Muhammad Zakir Fikry.
Mengikut pertuduhan pindaan, kesalahan itu didakwa dilakukan pada 14 April lalu kira-kira jam 3.30 pagi di tepi jalan Kampung Chap Bekelam, Bachok.
Kesemua tertuduh didakwa mengetahui satu kesalahan bunuh telah dilakukan sebelum bertindak membuang mayat mangsa ke tepi jalan dengan niat mengelakkan Muhammad Hakim Zikrullah dan Mohamed Eerman Daniel daripada dikenakan tindakan mengikut undang-undang.
ARTIKEL BERKAITAN: Dendam lama dipercayai punca OKU dibunuh, suspek tinggalkan mangsa seolah-olah kemalangan
Kes bunuh Muhammad Zakir: Pasangan suami isteri pula direman
Bunuh OKU: Dua lelaki direman ada rekod dadah
Bunuh OKU: Dua lelaki direman enam hari bantu siasatan
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.
Hakim Zulkifli Abllah kemudian memaklumkan bahawa kes tersebut tidak boleh dijamin dan kesemua tertuduh mengaku faham mengenai perkara itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Kamilah Che Ibrahim manakala keempat-empat tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Nur Kamilah tidak menawarkan jaminan kepada kesemua tertuduh kerana kes tersebut tidak boleh dijamin.
Mahkamah kemudian tidak membenarkan keempat-empat tertuduh diikat jamin selain menetapkan 25 Jun depan untuk sebutan semula kes.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

