Ditemui berlumuran darah, pemuda OKU maut dipercayai dipukul

 Seorang lelaki OKU pembelajaran, Muhammad Zakir Fikry Mohd Zainal, 20, maut dipercayai akibat dipukul
Seorang lelaki OKU pembelajaran, Muhammad Zakir Fikry Mohd Zainal, 20, maut dipercayai akibat dipukul
A
A
A

BACHOK - Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) pembelajaran maut dipercayai akibat dipukul dalam kejadian di Ladang Merdeka Cherbu, Padang Lati di sini pada Rabu.

Mangsa, Muhammad Zakir Fikry Mohd Zainal, 20, mengalami kecederaan parah di kepala sebelum meninggal dunia pada jam 12.55 pagi ketika menerima rawatan di Zon Merah, Unit Kecemasan Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Kubang Kerian, Kota Bharu.

Sebelum kejadian, mangsa ditemukan orang awam dalam keadaan masih bernyawa tetapi lemah serta terbaring di atas tanah sekitar jam 7.30 pagi, Selasa.

Penduduk menunjukkan lokasi penemuan mangsa sebelum dibantu bawa ke hospital. Foto pembaca
Penduduk menunjukkan lokasi penemuan mangsa sebelum dibantu bawa ke hospital. Foto pembaca

Seorang penduduk, Mohd Yusoff Shafei, 60, berkata, dia menerima panggilan daripada rakannya berhubung penemuan seorang lelaki terbaring dalam keadaan berlumuran darah di bahagian muka berhampiran sebuah motosikal jenis Honda C70 yang awalnya disangkakan mengalami kemalangan.

“Sampai tempat kejadian saya nampak mangsa sedang menahan sakit.

“Nampak ada kesan darah pada muka mangsa dan saya bantu hubungi ambulans,” katanya kepada pemberita pada Rabu.

Mohd Yusoff berkata, mangsa difahamkan bukan penduduk di kampung berkenaan.

Artikel Berkaitan:

“Saya terkejut apabila dimaklumkan mangsa meninggal dunia ketika menerima rawatan,” katanya.

Sementara Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

“Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!