X

Kindly register in order to view this article
!

Betul-betul 'picture of the day'

Tindakan spontan Mohamad Syahmin mendapat reaksi positif orang ramai yang menyifatkan ia selari dengan tema 'Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada'. - Foto Facebook Polis Daerah Ipoh
A
A

IPOH - "Aunty itu datang seorang diri ke pasar tanpa memakai apa-apa alat perlindungan, bimbang akan keselamatannya, saya tawarkan diri bantu pakaikan topeng muka," kata Konstabel Mohamad Syahmin Anuar yang gambarnya bersama seorang wanita warga emas tular di media sosial hari ini.

Anggota bertugas di Balai Polis Kampung Rapat itu berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 10 pagi hari ini ketika beliau sedang memantau pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sekitar Pasar Awam Gunung Rapat.

Mohamad Syahmin, 25, berkata, wanita berusia lingkungan 80-an itu ada memegang topeng muka, namun tidak memakainya.

"Apabila dihampiri, nampak keadaan dirinya yang sudah uzur, tangan pun dalam keadaan terketar-ketar, mungkin payah untuk dia memakai topeng muka dengan sendiri.

"Saya tawarkan diri untuk bantu memakaikan topeng itu dan dia mengangguk tanda mengizinkan sebelum mengucapkan terima kasih," katanya.

Beliau yang baru menyertai pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Februari lepas sempat menasihatkan warga emas berkenaan mengenai kepentingan memakai topeng muka terutama apabila berada di tempat awam.

"Dia faham dan kerana itulah dia meminta saya bantu memakaikan topeng muka itu," katanya.

Gambar berkenaan dikongsi di Facebook Polis Daerah Ipoh kira-kira 5 jam lalu dengan kapsyen 'Pic of the day: Konstabel Mohamad Syahmin Anuar menyantuni seorang warga emas yang tidak memakai topeng muka semasa anggota tersebut membuat rondaan pemantauan di sekitar Kampung Rapat, Ipoh'.

Gambar itu mendapat reaksi positif netizen yang memuji tindakan murni anggota berkenaan selari dengan tema 'Polis dan masyarakat berpisah tiada'.

Pemakaian topeng muka antara syarat yang dikenakan ke atas setiap pengunjung pasar awam di negeri ini sepanjang tempoh PKP dilaksanakan.

Ia langkah yang dikuatkuasakan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan dipantau bersama anggota polis bagi mengurangkan risiko penularan wabak koronavirus (Covid-19).


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus