Misi keluarkan mayat pelancong laut Maldives sebelum dibaham jerung

Misi itu dibarisi pasukan pakar dan penyelam elit Eropah. Foto Agensi
Misi itu dibarisi pasukan pakar dan penyelam elit Eropah. Foto Agensi
A
A
A

MALE - Pasukan penyelam elit Eropah perlu bertindak pantas untuk membawa keluar mayat empat pelancong Itali yang masih hilang selepas tragedi selam skuba di Maldives, sebelum mayat mereka berisiko dibaham jerung di dasar laut.

Menurut laporan New York Post, operasi khas itu dijadual disambung semula pada Isnin melibatkan beberapa penyelam teknikal terbaik dunia dari Finland yang dihantar oleh organisasi Divers Alert Network (DAN) Europe.

Setakat ini, hanya mayat jurulatih selam, Gianluca Benedetti berjaya ditemukan manakala seorang anggota penyelam penyelamat tentera Maldives turut maut ketika operasi mencari mangsa sebelum ini.

Ketua Pegawai Eksekutif DAN Europe, Laura Marroni berkata, pasukan itu bertekad membawa keluar semua mayat mangsa dan tidak mahu mereka ditinggalkan di dasar laut.

“Kami akan membawa mereka pulang. Kami tidak boleh membiarkan mayat mereka menjadi mangsa jerung. Kami perlukan pakar untuk operasi ini,” katanya kepada akhbar Itali, La Stampa.

Beliau berkata, faktor masa amat kritikal kerana mangsa dipercayai hilang pada kedalaman kira-kira 61 meter di rangkaian gua bawah laut yang berbahaya di Vaavu Atoll.

Katanya, keadaan air laut yang panas meningkatkan risiko mayat diserang pemangsa laut termasuk jerung.

“Dalam operasi terdahulu, kejadian buruk pernah berlaku. Setiap jam amat penting,” katanya.

Pasukan elit itu turut disertai penyelam terkenal Finland seperti Sami Paakkarinen dan Patrik Gronqvist yang pernah terlibat dalam beberapa misi menyelamat berprofil tinggi termasuk operasi menyelamat pasukan bola sepak remaja di Thailand pada 2018.

Artikel Berkaitan:

Menurut Marroni, pasukan berkenaan memiliki keupayaan menyelam sehingga hampir 152 meter, jauh lebih dalam berbanding penyelam biasa.

Cuaca buruk dan kekurangan peralatan teknikal di Maldives turut menyebabkan operasi pencarian menjadi lebih sukar.

“Maldives tidak terkenal dengan operasi selaman gua atau laut dalam, jadi latihan dan sistem operasi untuk misi seperti ini agak terhad,” katanya.

Dalam tragedi itu, lima rakyat Itali disahkan maut iaitu Monica Montefalcone, anak perempuannya Giorgia Sommacal, Muriel Oddenino, Federico Gualtieri dan Benedetti.

Kebanyakan mangsa dilaporkan mempunyai kaitan dengan Universiti Genoa di Itali.

Media antarabangsa melaporkan tragedi itu dipercayai berpunca daripada keracunan oksigen ketika melakukan selaman terlalu dalam.

Siasatan turut dijalankan terhadap bot pelancongan 'Duke of York' yang membawa kumpulan itu kerana didakwa tidak mempunyai permit untuk aktiviti selaman melebihi 30 meter.- Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!