Maahad Ashraf Al-Abrar lahir generasi huffaz berdaya saing

KUALA KRAI — Institusi tahfiz semakin diperkukuh apabila Maahad Ashraf Al-Abrar RPT Chenulang di sini memberi tumpuan kepada hafazan al-Quran di samping menekankan kecemerlangan akademik.
Timbalan Pengetua Maahad Ashraf Al-Abrar, Dr Nazaruddin Jalaluddin berkata, maahad berkenaan memulakan operasi pada 18 Oktober 2021 dengan hanya belasan pelajar lelaki sebelum jumlah itu meningkat kepada 38 orang ketika ini.
Menurut beliau, kompleks maahad di kawasan seluas 3.5 ekar itu mampu menampung sehingga 100 pelajar pada satu-satu masa.
“Perkembangan yang berlaku amat memberangsangkan apabila pelajar bukan sahaja memberi fokus kepada hafazan 30 juzuk al-Quran, malah turut didedahkan dengan pengajian bahasa Arab dan kitab turath.
“Sebagai kesinambungan pendidikan, pada tahun kelima pengajian, pelajar akan mengikuti program Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) secara laluan pantas di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) Nilam Puri,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, pada tahun lalu, tiga pelajar dihantar mengikuti program berkenaan dan seorang daripadanya berjaya memperoleh keputusan cemerlang 5A dan 3B dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia tahun lalu.
Katanya, kejayaan itu membuktikan pelajar tahfiz juga mampu bersaing dalam bidang akademik seterusnya membuka peluang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara.
“Tahun ini, tiga lagi pelajar didaftarkan mengikuti program sama di KIAS bagi meneruskan kesinambungan kecemerlangan akademik dan sahsiah.
“Kami membuka peluang seluas-luasnya kepada ibu bapa yang mahu anak mereka mendalami hafazan al-Quran dalam tempoh tiga hingga empat tahun, di samping mendapat pendidikan akademik yang tersusun,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihak maahad kini giat menambah baik beberapa kemudahan dengan kos yang diperlukan berjumlah RM135,000 bagi memastikan keselesaan pelajar serta memperkasa syiar Islam di kawasan berkenaan.
Menurutnya, antara penambahbaikan yang sedang dan akan dilaksanakan termasuk pembinaan menara Masjid Jabal Abrar, pemasangan sistem audio, pemasangan karpet masjid, pengubahsuaian dewan makan menjadi asrama warga emas, pendawaian elektrik serta penambahbaikan bilik air dan kemudahan dobi pelajar.
“Kami mahu menyediakan suasana pembelajaran dan ibadah yang lebih kondusif bukan sahaja kepada pelajar, malah warga emas yang berminat mendalami ilmu agama,” katanya.
Orang ramai yang ingin bersama-sama menyokong usaha pembangunan dan penambahbaikan kemudahan di Maahad Ashraf Al-Abrar boleh menyalurkan sumbangan terus ke akaun Bank Islam bernombor 03072010133809 atas nama maahad berkenaan atau menghubungi talian 012-9837938.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

