Konvoi darat antarabangsa ke Gaza tersekat di pinggir bandar Sirte, Libya

ISTANBUL - Global Sumud Land Convoy, sebuah misi kemanusiaan antarabangsa yang membawa bantuan menyelamatkan nyawa ke Semenanjung Gaza, masih tersekat pada Ahad di pinggir bandar Sirte, Libya ketika rundingan dengan pihak berkuasa berlangsung bagi membolehkan ia meneruskan perjalanan ke wilayah Palestin itu.
Anadolu Ajansi (AA) melaporkan bahawa konvoi berkenaan telah menunggu sejak awal pagi Ahad di pinggir Sirte, yang terletak kira-kira 450 kilometer ke timur ibu negara Tripoli, sebelum memasuki kawasan di timur Libya.
Misi itu berlepas pada Jumaat dari bandar Zawiya di barat Tripoli, menghimpunkan lebih 350 aktivis dari 30 negara termasuk Turkiye, Algeria, Tunisia, Maghribi, Mauritania, Indonesia, China, Amerika Syarikat (AS), Jerman, Sepanyol, Itali dan United Kingdom (UK).
Konvoi itu membawa 50 kontena, termasuk 30 kontena bantuan kemanusiaan penting dan 20 kontena yang mengandungi unit kediaman mudah alih serta lima ambulans.
Penyelaras aktivis Turkiye yang menyertai konvoi itu, Hayati Arslan, memberitahu Anadolu bahawa perbincangan dengan pihak berkuasa di timur Libya masih berlangsung.
Beliau berkata, matlamat konvoi itu semata-mata untuk memecahkan sekatan Israel ke atas Semenanjung Gaza dan menyalurkan bantuan kemanusiaan.
Arslan berkata, bantuan yang dibawa masih terhad berbanding skala kemusnahan di Semenanjung Gaza.
Beliau turut menghargai pendirian pihak berkuasa di timur Libya mengenai Semenanjung Gaza serta menyeru agar konvoi, aktivis dan bantuan kemanusiaan itu dibenarkan meneruskan perjalanan.
Di laut, Global Sumud Flotilla memulakan pelayaran pada Khamis dengan 54 kapal berlepas dari daerah Marmaris di wilayah Mugla, barat daya Turkiye, dalam satu lagi usaha untuk memecahkan sekatan Israel yang dikenakan ke atas Semenanjung Gaza.
Pada akhir April, tentera Israel melancarkan serangan yang disifatkan menyalahi undang-undang di perairan antarabangsa berhampiran pantai Crete, menyasarkan kapal Global Sumud Flotilla yang membawa 345 peserta dari 39 negara, termasuk rakyat Turkiye.
Israel menahan 21 bot yang membawa kira-kira 175 aktivis, manakala bot selebihnya meneruskan pelayaran ke perairan wilayah Greece.
Israel mengenakan sekatan ketat ke atas Semenanjung Gaza sejak 2007, menyebabkan 2.4 juta penduduk wilayah itu berada di ambang kebuluran.
Tentera Israel melancarkan serangan kejam selama dua tahun ke atas Semenanjung Gaza pada Oktober 2023, yang mengorbankan lebih 72,000 orang, mencederakan lebih 172,000 yang lain serta menyebabkan kemusnahan besar di wilayah yang dikepung itu. - Bernama-Anadolu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
