Tiga daripada 10 kereta terpakai pernah kemalangan serius

KUALA LUMPUR – Pasaran kereta terpakai di negara ini terus dibayangi isu penipuan apabila dianggarkan lebih 130,000 kenderaan yang dijual dipercayai pernah terlibat dalam kemalangan serius tanpa disedari pembeli.
Lebih mengejutkan, hampir separuh daripada kenderaan yang disemak turut dikesan mempunyai unsur manipulasi kondisi termasuk bacaan meter perbatuan yang diubah, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap tahap ketelusan dalam industri jual beli kereta terpakai.
Pengasas bersama SCRUT, Nik Muhammad Izwan Nik Mohd Kamel atau dikenali sebagai Nik Izwan Kamel berkata, statistik semasa menunjukkan tiga daripada setiap 10 kereta yang disemak melalui platform itu mempunyai rekod kemalangan serius.
Menurutnya, angka tersebut masih kekal tinggi walaupun kesedaran pengguna mengenai kepentingan semakan sejarah kenderaan semakin meningkat.
“Jika dahulu daripada 10 buah kereta yang membuat semakan dengan SCRUT, tiga buah kereta dilaporkan pernah terlibat dengan kemalangan serius, hari ini juga masih sama.
“Ini bermaksud lebih kurang 130,000 buah kereta terpakai sebenarnya pernah terlibat dengan kemalangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas trend semasa industri kereta terpakai yang dianggarkan merekodkan kira-kira 450,000 transaksi setahun dengan nilai pasaran hampir RM20 bilion.
Menurut beliau, sebelum kewujudan sistem semakan seperti SCRUT, kebanyakan pembeli hanya bergantung kepada maklumat diberikan penjual tanpa mempunyai akses kepada rekod sebenar sesebuah kenderaan.
Katanya, perkembangan teknologi kini membolehkan pengguna membuat semakan lebih telus termasuk sejarah kemalangan, rekod kerosakan serta kemungkinan manipulasi meter perbatuan sebelum membuat keputusan membeli.
Sementara itu, seorang lagi pengasas bersama SCRUT, Ahmad Aliff A S Ahmad Shariffuddin berkata, sehingga kini hampir 43,000 pengguna berjaya mengelak daripada menjadi mangsa penipuan selepas semakan mendapati kereta yang ingin dibeli mempunyai rekod kemalangan serius.
“Kita tidak tahu sepenuhnya apa yang berlaku selepas pelanggan membuat semakan, namun rekod menunjukkan kira-kira 43,000 kereta didapati pernah terlibat dalam kemalangan serius.
“Sekurang-kurangnya mereka sudah tahu keadaan sebenar kereta yang mahu dibeli. Sama ada mahu meneruskan pembelian atau tidak, itu terpulang kepada mereka,” katanya.
Beliau berkata, tahap kesedaran pengguna kini semakin baik apabila ramai mula memahami kepentingan mendapatkan laporan sejarah kenderaan sebelum membeli.
Tambahnya, tribunal pengguna juga mula menerima laporan pihak ketiga sebagai dokumen sokongan dalam tuntutan berkaitan penipuan jual beli kereta terpakai.
“Baru-baru ini tribunal pengguna memutuskan kemenangan kepada seorang pengguna yang ditipu syarikat penjual kereta terpakai melibatkan tuntutan RM28,000 dan antara dokumen hujah dikemukakan ialah laporan SCRUT,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Aliff menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan ‘ayat manis’ penjual seperti kereta milik wanita, guru, pemilik pertama atau individu tertentu kerana ia bukan jaminan keadaan sebenar kenderaan.
Sebaliknya katanya, pembeli perlu mendapatkan nombor pendaftaran atau nombor casis kenderaan untuk membuat semakan selain membawa kereta ke bengkel dipercayai bagi pemeriksaan terperinci.
“Yang akan membayar ansuran selama lima hingga sembilan tahun adalah pembeli sendiri. Jadi lebih baik laburkan sedikit masa dan wang untuk elak kerugian lebih besar pada masa depan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
