[VIDEO] Wanita ditikam di leher oleh lelaki dikenali

ALOR SETAR - [DIKEMAS KINI] Seorang wanita cedera ditikam di bahagian kanan lehernya oleh seorang lelaki yang dikenali di hadapan sebuah restoran di Jalan Titi Gajah di sini pada malam Ahad.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, dalam kejadian 9.19 malam itu, mangsa dipercayai ditikam di dalam kereta jenis Mazda 3 dan lelaki tersebut dipercayai telah melarikan diri.
ARTIKEL BERKAITAN: Polis buru ejen hartanah disyaki tikam wanita, kesan senjata digunakan
Menurutnya, wanita tersebut yang bekerja sebagai ejen hartanah telah dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini untuk mendapatkan rawatan.
"Motif kejadian masih dalam siasatan polis.
"Kita tak tahu setakat mana, sejauh mana hubungan antara mereka berdua tapi kita percaya mereka saling mengenali kerana mereka menaiki kenderaan yang sama.
"Keadaan mangsa yang dihantar ke HSB kini berada dalam keadaan stabil," katanya ketika sidang akhbar di lokasi kejadian pada pagi Isnin.

Jelas Syed Basri, hasil siasatan awal mendapati kenderaan adalah milik mangsa dan semasa kejadian dia berada di bahagian pemandu.
Menurutnya, polis kini sedang giat menjejak lelaki itu dan senjata yang digunakan dalam kejadian berkenaan.
"Polis turut menyeru suspek berusia 32 tahun yang bekerja sebagai ejen hartanah agar menyerah diri dan orang ramai yang turut mempunyai maklumat diminta tampil untuk membantu siasatan.
"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah dengan menggunakan senjata," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menafikan dakwaan netizen di media sosial bahawa mangsa telah meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

