Covid-19: MAIK agih zakat RM12.6 juta bantu asnaf

MAIK memanfaatkan 603 rangkaian masjid bagi mengagihkan barangan keperluan dan juga zakat kepada penerima sepanjang PKP.
MAIK memanfaatkan 603 rangkaian masjid bagi mengagihkan barangan keperluan dan juga zakat kepada penerima sepanjang PKP.
A
A
A

KOTA BHARU - Sebanyak RM12.6 juta agihan zakat disalurkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) kepada asnaf yang memerlukan di negeri itu sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Yang Dipertua MAIK yang juga Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, pihaknya menyalurkan agihan zakat tersebut melalui Program Prihatin MAIK.

Menurutnya, untuk fasa pertama PKP sehingga 31 Mac lalu, jumlah agihan zakat telah mencapai RM4.7 juta manakala bagi fasa kedua pula, MAIK telah membuat penambahan sebanyak RM7.9 juta.

“Saya memahami apa yang dirasai oleh rakyat. Maka tindakan segera dan efisien telah disusun oleh MAIK supaya setiap masyarakat yang layak menerima bantuan mendapat pembelaan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Beliau berkata, untuk memastikan kelancaran dan keberkesanan program serta mengelak keciciran, MAIK telah memanfaatkan 603 rangkaian masjid bandar, jajahan dan mukim di negeri itu bagi mengagihkan bantuan kepada asnaf yang terkesan di kawasan masing-masing.

“Bagi fasa pertama menerusi Program Prihatin MAIK, kita telah menumpukan kepada enam kumpulan bantuan utama iaitu yang pertama adalah agihan zakat bulanan kepada asnaf fakir miskin untuk bulan Mac berjumlah RM3.5 juta melibatkan 9,015 orang.

“Kedua adalah sumbangan khas kepada asnaf melalui masjid bandar, jajahan dan mukim melibatkan agihan zakat sebanyak RM603,000 manakala ketiga adalah bekalan makanan asas dengan kerjasama kerajaan Kelantan bernilai RM316,000,” kata beliau.

Tengku Mohamad Rizam berkata, turut tidak dilupakan ialah bantuan kepada mualaf, guru agama MAIK dengan jumlah perbelanjaan sebanyak RM224,000.

Artikel Berkaitan:

Tengku Mohamad Rizam
Tengku Mohamad Rizam

“Kumpulan kelima adalah bantuan khas kepada asnaf melalui Talian Prihatin MAIK yang mana telah mencatatkan agihan sebanyak RM49,000 dan sebanyak RM13,000 dikhaskan untuk barisan petugas hadapan di Hospital Raja Perempuan Zainab II dengan memberikan sumbangan pek makanan setiap hari,” katanya.

Dalam tempoh lanjutan PKP pula, Tengku Mohamad Rizam juga memberitahu pihaknya telah membuat penyelarasan dengan membahagikan bantuan kepada dua kategori iaitu Agihan Zakat MAIK diawalkan dan Bantuan MAIK Musibah Covid-19.

“Untuk Agihan Zakat MAIK diawalkan ia melibatkan perbelanjaan RM4.8 juta. Kita akan awalkan dua program agihan iaitu Program Agihan Zakat Bulanan kepada Asnaf Fakir dan Miskin untuk bulan April melibatkan 9,067 penerima berjumlah RM3.5 juta.

“Menerusi program agihan yang sama, kita memperuntukkan sebanyak RM1.3 juta kepada penuntut IPT dalam dan luar negara membabitkan seramai 600 orang penerima,” katanya.

Sementara itu, bagi kategori Bantuan MAIK Musibah Covid-19 pula, Tengku Mohamad Rizam berkata, MAIK mengagihkan sebanyak RM3.1 juta yang melibatkan empat kumpulan utama.

“Bantuan kepada asnaf menerusi masjid di seluruh Kelantan adalah sebanyak RM1.8 juta manakala bantuan khas kepada asnaf yang memohon menerusi Talian Prihatin MAIK sebanyak RM500,000 telah diperuntukkan dan daripada jumlah itu sehingga 7 April sebanyak RM123,000 sudah diagihkan kepada 1,049 asnaf.

“Kita juga memperuntukkan bantuan kepada institusi pendidikan agama dengan mengagihkan kepada 911 tenaga pengajar, 106 buah tahfiz dan sekolah agama swasta, 121 guru agama MAIK serta 1,634 pelajar mualaf yang membabitkan peruntukan sebanyak RM500,000,” katanya.

Selain itu, MAIK juga turut memperuntukkan sebanyak RM300,000 di bawah bantuan khas untuk masyarakat orang asli di Kelantan.