Tabung Covid-19 perlu berdaftar dengan Kementerian Kewangan

Ismail Sabri - Foto Bernama
Ismail Sabri - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA – Orang awam termasuk sektor korporat yang mewujudkan tabung bantuan wabak koronavirus (Covid-19) bagi membantu mereka yang terkesan dengan pandemik itu diminta untuk berdaftar dengan Kementerian Kewangan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob berkata, langkah itu perlu bagi membolehkan mereka mendapat pemotongan cukai seperti yang diumumkan kerajaan sebelum ini.

“Selain Tabung Covid-19 yang ditubuhkan kerajaan, ramai rakyat yang prihatin kepada mereka yang memerlukan bantuan termasuk topeng muka, peralatan perlindungan diri (PPE) dan sebagainya, jadi banyaklah tabung yang telah diwujudkan.

“Kita berterima kasi bagi mereka yang membantu (wujudkan tabung), bagaimanapun kerajaan mencadangkan supaya setiap tabung didaftarkan kerana Kementerian Kewangan telah umumkan bahawa penyumbang akan diberikan insentif pengecualian cukai.

“Jadi, kita harap mereka (orang awam dan sektor korporat yang wujudkan tabung Covid-19) untuk lapor dan segera berdaftar dengan Kementerian Kewangan,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Menteri-menteri Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Pejabat Perdana Menteri di sini hari ini.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Ismail Sabri turut memaklumkan jumlah terkini kutipan Tabung Covid-19 telah mencecah RM22.66 juta.

“Daripada jumlah itu, sejumlah RM5.68 juta telah diagihkan kepada Yayasan Kebajikan Negara (YKN) bagi fasa pertama untuk membeli bantuan harian kepada mereka yang terjejas khususnya di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Bagi fasa kedua, RM9.06 juta akan disalurkan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan YKN untuk meningkatkan pengagihan bantuan ini,” katanya.

Artikel Berkaitan: