SD Guthrie, Perhilitan bekerjasama pulihara Tapir Malaya

SHAH ALAM - SD Guthrie Berhad (Guthrie) mengumumkan hasrat bekerjasama dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia sebagai rakan strategik dalam memperkasa pemuliharaan Tapir Malaya.
Guthrie dalam satu kenyataan berkata, antara fokus utama adalah menyokong perlindungan habitat dan koridor ekologi dalam landskap operasi, menganjurkan inisiatif pemuliharaan lapangan secara bersama, melaksanakan langkah mitigasi untuk mengurangkan risiko kepada populasi Tapir serta meningkatkan kesedaran dalam kalangan pengurusan ladang dan masyarakat sekitar.
Menurut Guthrie, kerjasama itu juga dilihat sebagai permulaan kolaborasi strategik jangka panjang dan berpotensi untuk dipereratkan lagi melalui Memorandum Persefahaman (MoU) rasmi pada masa hadapan.
"Populasi spesis ini semakin menurun dan dianggarkan kurang daripada 2,500 tapir dewasa masih tinggal di habitat liar berdasarkan penilaian yang diterbitkan pada tahun 2016 Kesatuan Antarabangsa Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN).
"Spesies yang unik dan penting dalam warisan semula jadi Malaysia ini terus menghadapi ancaman yang semakin meningkat akibat pemecahan habitat, perubahan guna tanah dan pelbagai tekanan alam sekitar.
"Pendekatan yang lebih terancang serta inklusif dengan melibatkan agensi kerajaan, sektor swasta dan komuniti tempatan diperlukan untuk menangani cabaran ini," ujarnya.
Tapir Malaya atau nama saintifiknya Tapirus indicus diklasifikasikan sebagai spesies terancam dalam Senarai Merah IUCN serta Senarai Merah Mamalia di Semenanjung Malaysia.
Sehingga tahun 2025, Guthrie telah memulihara dan memulihkan 51,212 hektar tanah merentasi operasinya serta landskap sekeliling, sekali gus menyokong habitat kritikal dan kesalinghubungan ekologi bagi hidupan liar seperti Tapir Malaya.
Usaha ini adalah sebahagian daripada komitmen lebih luas Guthrie untuk memulihara lebih daripada 100,000 hektar menjelang 2030, dengan memberi tumpuan kepada pelindungan kawasan Nilai Pemuliharaan Tinggi dan memperkukuh koridor ekologi di Malaysia, Indonesia, Papua New Guinea dan Kepulauan Solomon.
Pada tahun 2025, sebanyak 19 perangkap kamera telah dipasang di kawasan ladangnya bagi menyokong pemantauan hidupan liar dan membantu tindakan pengurusan pemuliharaan. Usaha ini telah merekodkan kehadiran spesies yang jarang ditemui, terancam dan berisiko tinggi (RTE) termasuk Tapir Malaya serta spesies lain.
Melalui Unit Pemuliharaan & Biodiversiti, Guthrie berhasrat untuk menyokong pelaksanaan Pelan Tindakan Pemuliharaan Tapir Malaya (MATCAP), khususnya di bawah komponen Komunikasi, Pendidikan, Penyertaan dan Kesedaran (CEPA).
Sementara itu, Ketua Pegawai Kelestarian Guthrie, Rashyid Redza Anwarudin dalam ucapan sempenan sambutan Hari Tapir Sedunia baru-baru ini menyarankan pendekatan holistik menerusi kerjasama antara agensi kerajaan, sektor swasta dan masyarakat dalam pemuliharaan hidupan liar seperti Tapir Malaya.
“Tapir Malaya sangat unik dan penting kepada biodiversiti negara kita, namun ia menghadapi persekitaran yang semakin mencabar dan ini perlu ditangani melalui tindakan yang lebih kolektif dan terancang.
"Bekerjasama dengan pihak Perhilitan merupakan satu peluang yang bernilai kerana ia dapat menggabungkan kepimpinan polisi dan kepakaran teknikal pihak Perhilitan dengan platform, capaian serta keupayaan penglibatan masyarakat daripada Guthrie,” ulasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

