Malaysia kuasa semikonduktor: Bersediakah kita untuk era kuantum?

BAYANGKAN satu senario yang semakin membimbangkan dunia keselamatan siber. Satu entiti tidak dikenali menyimpan salinan data sulit milik kita seperti rekod kewangan, maklumat perubatan, komunikasi rasmi kerajaan, data industri atau maklumat keselamatan negara. Hari ini, data tersebut masih dilindungi oleh sistem enkripsi yang dianggap kukuh.
Namun, entiti itu tidak perlu memecahkannya sekarang. Mereka hanya perlu menyimpannya dan menunggu.
Dalam beberapa tahun akan datang, apabila komputer kuantum yang cukup berkuasa berjaya dibangunkan, sebahagian sistem enkripsi hari ini berpotensi menjadi tidak lagi selamat. Ancaman ini dikenali sebagai “harvest now, decrypt later”. Ia bukan sekadar hipotesis akademik, tetapi strategi ancaman yang semakin diberi perhatian oleh kerajaan, institusi kewangan dan sistem pertahanan.
Pada tahun 2024, Amerika Syarikat mengumumkan piawaian pertama bagi kriptografi pasca-kuantum melalui National Institute of Standards and Technology (NIST), sebelum mengenakan sekatan eksport yang turut merangkumi komputer kuantum dan komponennya. Perkembangan ini membawa mesej jelas bahawa teknologi kuantum bukan lagi sekadar penyelidikan masa hadapan.
Ia kini menjadi aset penting yang berkait langsung dengan keselamatan negara, kedaulatan digital dan persaingan geopolitik.
Dalam isu kuantum, pengajaran paling dekat untuk Malaysia sebenarnya datang daripada pengalaman negara sendiri dalam industri semikonduktor iaitu besar dalam rantaian global tidak semestinya bermakna kuat dalam pemilikan teknologi teras.
Malaysia sememangnya mempunyai kedudukan penting dalam rantaian nilai semikonduktor global. Negara ini merupakan antara pengeksport utama semikonduktor dunia dan memainkan peranan besar dalam aktiviti pemasangan, pengujian serta pembungkusan cip.
Syarikat OSAT tempatan seperti Inari dan Unisem, bersama kehadiran syarikat multinasional, menjadikan Malaysia hab penting dalam ekosistem semikonduktor antarabangsa.
Namun, nilai sebenar dalam rantaian teknologi tidak hanya terletak pada jumlah eksport atau aktiviti pembuatan. Amerika Syarikat mengetuai reka bentuk cip dan pemilikan harta intelek. Taiwan menguasai pembuatan cip canggih manakala Korea Selatan mendominasi cip memori.
Malaysia pula masih banyak tertumpu kepada aktiviti hiliran selepas wafer dihasilkan di negara lain.
Dengan kata lain, Malaysia penting dalam rantaian nilai global, tetapi belum cukup dominan dalam pemilikan teknologi terasnya.
Dalam konteks kuantum, jurang ini bukan lagi isu ekonomi semata-mata. Negara yang tidak memiliki teknologi teras akan bergantung kepada platform, paten, standard dan keputusan pihak luar untuk melindungi infrastruktur digitalnya sendiri.
Sementara itu, perlumbaan kuantum global sedang bergerak pantas. China telah meletakkan teknologi kuantum sebagai salah satu keutamaan negara bersama semikonduktor, kecerdasan buatan dan teknologi termaju.
Dari segi pemfailan paten, China kini berada pada kedudukan dominan dengan beberapa laporan menunjukkan negara itu menyumbang sekitar separuh atau lebih daripada pemfailan paten kuantum dunia dalam tempoh terkini.
Amerika Syarikat pula bergerak melalui Inisiatif Kuantum Kebangsaan dengan peruntukan besar untuk penyelidikan, pembangunan bakat dan pembinaan ekosistem. Kesatuan Eropah turut menggerakkan pelaburan berskala besar sejak tahun 2018. Di rantau ini, Singapura telah lama membina asas melalui Centre for Quantum Technologies.
Namun, Malaysia tidak bermula dari kosong. Negara ini mempunyai asas industri yang kukuh dalam semikonduktor, elektronik, pembuatan termaju dan kejuruteraan mikroelektronik. Kehadiran syarikat multinasional seperti Intel, Infineon dan NXP membuktikan kapasiti industri Malaysia diiktiraf dunia.
Malaysia juga memiliki SilTerra di Kulim Hi-Tech Park, Kedah, satu aset penting yang jarang dimiliki negara membangun di rantau ini.
Strategi Semikonduktor Kebangsaan 2024 hingga 2030 dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 pula telah menggariskan aspirasi untuk membawa Malaysia naik dalam rantaian nilai daripada hab pemasangan kepada pemain yang lebih berupaya dalam reka bentuk, teknologi teras dan pemilikan harta intelek.
Di sinilah kuantum perlu dilihat bukan sebagai agenda terpisah daripada semikonduktor, tetapi kesinambungan strategik kepadanya. Teknologi kuantum memerlukan keupayaan dalam bahan, fotonik, fabrikasi nano, elektronik, sensor, kriptografi dan kecerdasan buatan. Banyak daripada keupayaan ini berkait rapat dengan ekosistem semikonduktor Malaysia.
Pada masa yang sama, kita perlu jujur. Dalam bidang teknologi kuantum, hala tuju nasional Malaysia masih belum cukup jelas. Platform penyelidikan kuantum bersepadu, harta intelek tempatan dan ekosistem bakat masih pada peringkat awal.
Malaysia perlu mula membina keupayaan dalam kriptografi pasca-kuantum, sensor kuantum, fotonik kuantum, bahan dan peranti kuantum serta platform ujian dan standard yang menyokong industri. Lebih penting, Malaysia perlu melihat kuantum sebagai isu kedaulatan digital, bukan sekadar cabang penyelidikan fizik.
Soalnya bukan sama ada Malaysia mampu atau tidak. Soalnya ialah sama ada kita cukup berani membuat keputusan penting sebelum pintu peluang menjadi semakin sempit.
Malaysia telah membuktikan bahawa kita boleh menjadi pemain penting dalam semikonduktor. Cabaran seterusnya ialah memastikan negara bukan sekadar hadir dalam era kuantum, tetapi turut mempunyai suara, kepakaran dan pemilikan dalam membentuk masa depannya.
* Profesor Ir Dr Ahmad Ashrif A Bakar ialah Pengarah Institut Kejuruteraan Mikro dan Nanoelektronik, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
