Pengasas MK Curtain genggam Ijazah Kedoktoran Pentadbiran Perniagaan

Calvin Khiu (kanan) secara rasmi menamatkan pengajian peringkat Ijazah Kedoktoran DBA.
Calvin Khiu (kanan) secara rasmi menamatkan pengajian peringkat Ijazah Kedoktoran DBA.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Impian Pengasas MK Curtain Bhd, Datuk Wira Dr Calvin Khiu untuk memperkasa ilmu dalam dunia korporat menjadi kenyataan apabila beliau secara rasmi menamatkan pengajian peringkat Ijazah Kedoktoran Pentadbiran Perniagaan (DBA).

Beliau yang juga Pengasas dan Pengerusi OE EduGroup berkata, pengalaman dalam pembelajaran praktikal selama bertahun-tahun telah mengubah pandangannya terhadap ilmu dan perkembangan diri.

“Daripada tidak suka belajar kepada mencintai pembelajaran praktikal, akhirnya menyedari bagaimana pembelajaran telah mengubah kehidupan saya berkali-kali. Saya benar-benar memahami betapa pentingnya ilmu kepada seseorang.

“Dalam dunia yang berubah dengan begitu pantas hari ini, usahawan yang berhenti berkembang akan mudah ketinggalan,” katanya selepas menerima skrol di Majlis Konvokesyen Ke-36 Universiti HELP yang berlangsung di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur.

Selain Calvin, beberapa tokoh penting sektor korporat dan kerajaan turut menerima skrol sama, antaranya Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Aerodyne Group iaitu syarikat teknologi dron terkemuka Malaysia, Datuk Dr Kamarul A Muhamed.

Pengarah Bahagian Kelestarian, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Dr Syed Kamal Muzaffa Syed Hassan Sagaff juga menerima skrol sama.

Clavin Khiu bersama Datuk Dr Kamarul A Muhamed, Dr Syed Kamal Muzaffa, Datuk Dr Nicole Wong Siaw Ting.
Clavin Khiu bersama Datuk Dr Kamarul A Muhamed, Dr Syed Kamal Muzaffa, Datuk Dr Nicole Wong Siaw Ting.

Menurut Calvin, sepanjang dua tahun lalu, beliau memperuntukkan masa bagi memberikan sepenuh perhatian terhadap penyelidikan dan pembelajaran sebelum berjaya menamatkan pengajiannya dalam bidang itu.

Artikel Berkaitan:

DBA juga membuka mindanya tentang kepentingan gabungan antara akademik dan pengalaman praktikal, selain membuka perspektif antarabangsa yang luas serta pemikiran pengurusan lebih sistematik.

“Dalam dunia akademik, saya melihat lebih banyak ruang dan kemungkinan. Selain pengalaman praktikal, saya juga melihat kekuatan sistem.

“Pada masa depan, saya mahu menggabungkan akademik dan praktikal untuk membawa OE EduGroup ke tahap yang lebih tinggi selain menjadikan pembelajaran praktikal sistematik kepada lebih ramai usahawan serta generasi muda,” jelasnya.

Beliau berharap dapat membantu lebih ramai usahawan perkukuh pemikiran strategik, meminimumkan kesilapan dalam perniagaan dan membina kemampuan jangka panjang melalui sistem pendidikan yang lebih tersusun.

Calvin berkata, nilai sebenar pendidikan bukan sekadar pada sijil atau kelulusan akademik, tetapi bagaimana seseorang mampu mengubah cara berfikir, perspektif dan hala tuju kehidupan.

“Kejayaan sebenar bukan tentang sejauh mana seseorang boleh pergi seorang diri, tetapi berapa ramai orang yang mampu dibawa bersama untuk berkembang,” tambahnya.

Calvin turut merakamkan setinggi penghargaan kepada arwah neneknya, ibu bapa, keluarga dan semua yang sentiasa memberi sokongan sepanjang perjalanan hidupnya.

Ujar beliau, setiap pencapaian yang diperolehi hari ini sentiasa berkait rapat dengan pengorbanan dan kasih sayang keluarga.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!