LKIM-KPDN perkukuh kerjasama perangi ketirisan subsidi nelayan

SHAH ALAM - Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) terus perkukuh kerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam mengintegrasikan data Aplikasi MyMinyak ke dalam Sistem Permit Bekalan.
Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil berkata, kerjasama itu bagi memastikan penyaluran subsidi yang lebih telus dan berkesan, sekali gus mengekang ketirisan subsidi nelayan.
“LKIM menegaskan komitmen penuh untuk terus bekerjasama dengan pihak penguat kuasa KPDN serta mana-mana jabatan dan agensi penguatkuasaan negara bagi memastikan tiada ruang berlakunya ketirisan atau penyalahgunaan bahan api bersubsidi.
“Penggunaan teknologi melalui Aplikasi MyMinyak akan terus diperkasakan sebagai mekanisme kawal selia utama bagi memantau kelayakan serta kuantiti pembelian di lapangan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Sehubungan itu beliau menjelaskan, para nelayan yang berdaftar dan tersenarai boleh terus memanfaatkan petrol bersubsidi nelayan melebihi 20 liter tanpa memerlukan permit khas tertakluk kepada peruntukan sedia ada petrol bersubsidi sebanyak 50 liter sehari.
Menurutnya, mekanisme dan manfaat subsidi itu sejajar dengan komitmen Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk menguruskan sektor pertanian terutama perikanan dengan lebih berkesan dan mampan.
“Kemudahan ini juga merupakan langkah proaktif dalam memastikan kebajikan komuniti nelayan terus terpelihara, di samping memperkukuh kawal selia bekalan bahan api negara,” katanya.
Beliau menegaskan, pemantauan berterusan terhadap inisiatif tersebut akan dilaksanakan di semua peringkat bagi menjamin manfaat yang adil buat nelayan seliaan.
“Apa-apa tuntutan dan keperluan lain nelayan berkaitan penyaluran subsidi bahan api adalah dalam peringkat penelitian.
“Justeru, nelayan digesa untuk meningkatkan produktiviti tangkapan ikan selaras dengan kemudahan subsidi ini bagi mencapai agenda keterjaminan makanan yang ditetapkan oleh KPKM selaras dengan aspirasi Malaysia Madani,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
