[VIDEO] Selipar DIY bukti cinta suami, temani isteri pejuang kanser ke Tanah Suci

A
A
A

MAKKAH – Bermula dengan sepasang selipar yang dibaiki sendiri, tersingkap kisah menyentuh hati tentang pengorbanan dan cinta sejati sepasang suami isteri dari Seri Kembangan.

Di sebalik langkah perlahan seorang wanita yang sedang bertarung dengan kanser rektum tahap empat, tersimpan sebuah kisah cinta yang begitu mengharukan.

Rossilawati Abdul Razak, 65, tetap menggagahkan diri menjejakkan kaki ke Tanah Suci dengan ditemani insan paling setia di sisi, suaminya, Kamaruzaman Othman, 66.

Selama 41 tahun menggenggam tangan isterinya dalam suka dan duka, Kamaruzaman membuktikan bahawa perjalanan mereka kali ini bukan sekadar memenuhi tuntutan ibadah semata-mata, tetapi juga lambang cinta, kesetiaan dan takdir yang terus menyatukan dua hati hingga ke penghujung usia.

Ketika berada di Madinah, kasut khas yang digunakan Rossilawati untuk mengimbangi kakinya tiba-tiba putus.

Dalam keadaan sukar mendapatkan pengganti yang sesuai, Kamaruzaman tidak sanggup melihat isterinya menahan kesakitan lalu mengambil inisiatif membaiki sendiri selipar tersebut dengan cara DIY.

Kamaruzaman tidak sanggup melihat isterinya menahan kesakitan lalu mengambil inisiatif membaiki sendiri selipar tersebut dengan cara DIY.
Kamaruzaman tidak sanggup melihat isterinya menahan kesakitan lalu mengambil inisiatif membaiki sendiri selipar tersebut dengan cara DIY.

“Saya buat sendiri tapak selipar ini. Saya lekatkan selipar asal dengan empat lagi selipar yang sama supaya dia boleh berjalan seimbang.

Artikel Berkaitan:

"Kaki isteri saya pendek sebelah sebab kanser sudah merebak ke tulang paha hingga menyebabkan tulangnya reput. Jadi memang dia perlukan selipar macam ini,” katanya.

Harapan hampir tertutup

Menurut Kamaruzaman, peluang mereka untuk menunaikan ibadah haji pada awalnya dilihat sangat tipis berikutan keadaan kesihatan isterinya yang tidak menentu.

Katanya, selepas menjalani pemeriksaan kesihatan, dia memilih untuk tidak terlalu berharap dan tidak berkongsi mengenai tawaran haji selagi keputusan belum diperoleh kerana bimbang mereka gagal melepasi syarat yang ditetapkan.

“Memang kami pernah membuat rayuan haji selama tiga tahun berturut-turut, tetapi tidak berjaya. Mungkin waktu itu ALLAH rasa kami belum bersedia.

"Sebab itu bila keluar tawaran, barulah kami yakin ini benar-benar jemputan ALLAH,” ujarnya penuh syukur.

Jiwa tetap kuat

Sementara itu, Rossilawati mengimbau detik awal disahkan menghidap kanser pada penghujung tahun 2014 yang disifatkannya sebagai fasa paling gelap dalam hidupnya.

Dengan suara perlahan dan sesekali tersekat, dia mengakui melalui 25 sesi radioterapi serta kemoterapi bukan sesuatu yang mudah untuk ditempuh.

“Masa itu saya rasa macam bangkai bernyawa, macam tengkorak bergerak sebab terlalu kurus. Berat badan saya turun daripada 80 kilogram kepada hanya 42 kilogram,” luahnya sebak.

Walaupun dikategorikan sebagai pesakit berisiko tinggi selain perlu menggunakan beg kolostomi dan menjalani rawatan berkala termasuk pemasangan stent pada saluran kencing akibat komplikasi buah pinggang, Rossilawati tetap bersyukur apabila akhirnya disahkan layak selepas pemeriksaan lanjut mendapati keadaan jantungnya stabil.

Selepas lebih empat dekad melayari bahtera perkahwinan, perjalanan haji itu nyata menghidupkan kembali rasa kasih yang sekian lama dipupuk bersama.

“Bila sampai sini, hubungan itu rasa makin rapat, macam ‘honeymoon’ semula,” kata Kamaruzaman sambil tersenyum.

'Rasa macam mimpi'

Bagi Rossilawati pula, peluang menjejakkan kaki ke Tanah Suci dalam keadaan dirinya hari ini adalah sesuatu yang tidak pernah disangka.

“Saya rasa macam mimpi dengan keadaan saya macam ini, ALLAH masih izinkan saya sampai ke sini,” katanya dengan mata berkaca.

Dia turut menzahirkan penghargaan kepada suaminya yang tidak pernah jemu berada di sisi sepanjang perjuangannya melawan kanser.

“Kalau tak ada suami saya, saya rasa saya pun mungkin sudah tiada. Saya sangat berterima kasih,” katanya sebak.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!