Jaket AiSU '6 dalam 1'

KUALA LUMPUR - Berinspirasikan cabaran sebenar di lapangan, pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menghasilkan jaket AiSU berfungsi '6 dalam 1' yang direka bagi meningkatkan kecekapan serta keselamatan petugas ketika operasi.
Inovasi yang dibangunkan oleh Kapten (PA) Shahrizal Hussin bersama tiga rakan pasukan APM itu dilihat sebagai solusi praktikal terhadap cabaran yang sering dihadapi anggota ketika bertugas dalam pelbagai situasi kecemasan.
"Idea menghasilkan jaket AiSU ini tercetus hasil pemerhatian terhadap keperluan anggota di lapangan yang terpaksa membawa pelbagai jenis pakaian dan peralatan bagi menyesuaikan diri dengan situasi.
“Dalam satu operasi, anggota APM mungkin menggunakan pelbagai jaket antaranya jaket hujan dan jaket keselamatan,” katanya.
Shahrizal berkata demikian kepada Sinar Harian ketika ditemui sempena Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurutnya, jaket itu menggabungkan enam fungsi utama iaitu sebagai jaket keselamatan, jaket hujan, jaket operasi, jaket kasual, life jacket serta utiliti tambahan untuk anggota.
"Keutamaan kita adalah memastikan anggota APM dapat bergerak dengan pantas dan selamat,” ujarnya.
Tambah beliau, jaket tersebut direka agar sesuai digunakan dalam pelbagai keadaan termasuk operasi banjir, menyelamat di kawasan berisiko tinggi serta situasi kecemasan lain.
"Proses pembangunan jaket itu mengambil masa kira-kira tiga bulan dan melalui beberapa fasa ujian serta penambahbaikan bagi memastikan ia benar-benar memenuhi keperluan operasi sebenar.
“Setiap fungsi diuji dalam situasi lapangan bagi memastikan ketahanan dan keberkesanannya sebelum ia diperkenalkan secara rasmi,” kongsinya.
Shahrizal berkata, dengan kos penghasilan sekitar RM250 seunit, inovasi tersebut dilihat bukan sahaja mampu membantu anggota APM, malah berpotensi untuk diperluaskan penggunaannya kepada agensi penyelamat lain.
"Kita kini dalam proses mendapatkan perlindungan harta intelek bagi membolehkan produk tersebut dipatenkan sebelum dikomersialkan," katanya.

Dalam pada itu anak jati Perak terbabit memaklumkan minat mendalam terhadap badan beruniform sejak usia muda menjadi titik tolak kepada perjalanan kerjaya dalam pasukan APM.
"Sebelum menyertai APM pada 2006, impian saya adalah untuk menjadi anggota polis, tetapi hasrat tersebut tidak kesampaian apabila permohonan telah ditolak.
"Saya menjalani kursus asas APM selama seminggu di Baling, Kedah sebelum ditempatkan di Pulau Pinang, kemudian mengikuti kursus lanjutan selama enam bulan di Bangi bagi memperkukuhkan kemahiran," jelasnya.
Bapa tiga anak itu berkata, pengalaman operasi pertamanya adalah dalam misi mencari orang hilang di kawasan hutan berhampiran Bukit Bendera, Pulau Pinang.
"Operasi selama tiga hari dua malam itu berjaya menemukan mangsa dalam keadaan selamat.
“Pengalaman itu memberi keyakinan kepada saya bahawa bidang ini bukan sekadar kerja, tetapi satu tanggungjawab besar kepada masyarakat,” ujarnya.
Cabaran pandemik
Antara detik paling mencabar sepanjang perkhidmatannya adalah ketika negara berdepan pandemik Covid-19 pada 2020.
"Ketika itu, saya dilantik sebagai ketua penyelaras di pusat kuarantin, kerjasama antara agensi berjaya memastikan operasi berjalan lancar.
"Sepanjang tempoh itu, saya turut terlibat dalam pembukaan beberapa pusat kuarantin di Perak, selain berdepan situasi di mana ada dalam kalangan anggota yang turut dijangkiti virus berkenaan," katanya.

Selain itu, satu lagi pengalaman yang tidak dapat dilupakan Shahrizal ialah insiden 21 mangsa terperangkap di tapak perkhemahan Eco Park Risda, Kampung Ulu Slim dalam kejadian kepala air pada 2024.
"Cabaran utama adalah memindahkan mangsa merentasi sungai berarus deras.
"Semua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan. Pasukan Penyelamat membuat teknik river crossing menggunakan sistem tali (highline) untuk memindahkan semua mangsa ke kawasan selamat," kongsinya.
Mengakhiri perkongsian, Shahrizal menyeru lebih ramai golongan muda untuk menyertai APM sebagai platform menyumbang kepada masyarakat.
"APM turut menawarkan elaun mencecah sekitar RM1,700 sebulan bagi anggota aktif, di samping latihan kemahiran seperti perubatan kecemasan dan pengurusan bencana.
“Jangan takut untuk mencuba. Semua kemahiran akan diajar secara berperingkat. Yang penting adalah minat dan kesediaan untuk berkhidmat,” tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
