X

Kindly register in order to view this article
!

PKP: Uji kecergasan guna basikal simulator

Mohd Harrif menjalani latihan harian dengan mengayuh basikal simulator di rumah ibunya berikutan PKP di Kampung Ladang Titian hari ini.
A
A

DALAM tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pelbagai aktiviti boleh dilakukan di rumah agar dapat kekal cergas terutamanya bagi mereka bergelar atlet.

Tidak terkecuali, pelumba profesional Terengganu Inc TSG Cycling Team (TSG), Mohd Harrif Saleh yang mahu memastikan beliau berada di tahap prestasi terbaik apabila menjalani latihan menggunakan basikal simulator bagi mengekalkan kecergasan, selain bagi menghilangkan ‘ketagih’ tidak dapat berlatih di trek sebenar.

Pelumba berusia 31 tahun itu memperuntukkan masa satu hingga dua jam sehari melakukan latihan menggunakan basikal simulator di rumah meskipun peluang menyertai pelbagai perlumbaan tahun ini masih kabur berikutan penularan wabak Covid-19 di seluruh dunia.

Mohd Harrif
Mohd Harrif

"Walaupun saya dan rakan-rakan menjalani latihan sendiri di rumah, kami akan berhubung melalui WhatsApp untuk menetapkan masa latihan yang sama.

"Ia sebagai motivasi dan menghidupkan semangat berpasukan kerana sudah lama tidak dapat menjalani latihan bersama-sama di luar," katanya ketika ditemui di kediaman ibunya di Kampung Ladang Titian di sini hari ini.

Mohd Harrif berkata, semua data berkaitan latihan akan dihantar kepada jurulatih TSG, Jeremy Hunt yang akan memantau dan menilai tahap kecergasan serta kepantasan setiap pelumba.

Justeru, beliau berkata, tiada istilah 'curi tulang' dalam kalangan pelumba pasukan itu kerana jurulatih turut menyediakan jadual serta model latihan yang perlu dipatuhi dalam tempoh PKP.

"Basikal simulator ini dipasang dengan power meter, jadi semua data kayuhan boleh dimuat naik dalam telefon atau komputer riba dan dihantar kepada jurulatih.

"Kalau ikutkan memang 'ketagih' sangat untuk berkayuh di luar (di jalan raya), tetapi kita perlu patuh kepada arahan kerajaan supaya rantaian wabak Covid-19 dapat diputuskan," katanya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus