Segerakan skim PERKESO luar negara

Kira-kira 480,000 rakyat Malaysia berulang-alik merentas Tambak Johor ke Singapura pada setiap hari.
Kira-kira 480,000 rakyat Malaysia berulang-alik merentas Tambak Johor ke Singapura pada setiap hari.
A
A
A

KITA sering dihidangkan dengan kisah kejayaan diaspora Malaysia, kononnya wira yang membawa pulang tukaran wang asing.

Namun, di sebalik kemilau dolar Singapura, tersimpan tragedi kemanusiaan yang tidak ramai peduli.

Rekod menunjukkan setiap minggu sekurang-kurangnya satu nyawa rakyat kita melayang di perantauan. Dalam setahun, 54 keluarga kehilangan insan tersayang. Ini bukan angka, ini nyawa.

Angka ini didedahkan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam ucapan sambutan Hari Pekerja pada 1 Mei lalu.

Setakat Mei 2026, dianggarkan lebih 1.86 juta rakyat Malaysia mencari rezeki di luar negara, termasuk kira-kira 480,000 yang berulang alik merentas Tambak Johor setiap hari. Mereka bangun seawal jam 4 pagi, meredah kesesakan dan risiko maut demi kelangsungan hidup.

Namun, apabila musibah berlaku, waris sering terkontang-kanting kerana perlindungan masih belum menyeluruh. Ada yang bergantung kepada sumbangan orang ramai, malah mengambil masa berbulan-bulan untuk menguruskan tuntutan selepas kehilangan pencari nafkah utama.

Justeru cadangan kerajaan untuk meminda Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 bagi meluaskan skim perlindungan PERKESO kepada rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara perlu disegerakan.

Kos bukan lagi alasan. Berdasarkan model inisiatif padanan caruman 2026 yang kini dinikmati pekerja domestik, kerajaan mensubsidi 70 peratus (RM162.80) daripada kos tahunan bagi salah satu pelan yang ditawarkan.

Jika model yang sama diterapkan, pekerja sendiri di Singapura hanya perlu membayar RM70 setahun iaitu sekitar RM5.80 sebulan untuk akses kepada perlindungan komprehensif seperti Faedah Orang Tanggungan dan Faedah Hilang Upaya Kekal.

Artikel Berkaitan:

Negara seperti Filipina sudah lama mewajibkan perlindungan sosial untuk pekerjanya di luar negara. Mengapa kita masih perlahan dalam hal yang melibatkan nyawa?

Selain pindaan akta, usaha kesedaran perlu dipergiat agar pekerja memahami kepentingan mencarum. Tanpa perlindungan, setiap perjalanan merentas sempadan membawa risiko yang tidak ternilai.

Kerajaan mesti berani bertindak sekarang sebelum lebih banyak tangisan bergema di Tambak Johor.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!