Perlindungan PERKESO pekerja Malaysia di Singapura wajar dipercepatkan

No Image Caption
A
A
A

JOHOR BAHRU - Cadangan kerajaan untuk memperluas skop perlindungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kepada rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara disambut baik golongan pekerja. 

Cadangan itu juga memberi kelegaan kepada ribuan rakyat Malaysia yang berulang-alik merentasi Tambak Johor dan Laluan Kedua Malaysia- Singapura ( Second Link) setiap hari demi mencari rezeki.

Inisiatif itu bukan sahaja memberi jaminan keselamatan, malah menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan pekerja di luar negara.

Pemandu penghantaran, Shahruddin Haeal Helmy Mohd Noh, 38, berkata, cadangan untuk memperluaskan perlindungan PERKESO kepada rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura sangat baik dan perlu dipercepatkan pelaksanaannya.

"Ketika ini, terdapat hampir 480,000. Sebelum ini hanya meliputi pekerja yang bekerja di dalam negara. Justeru, cadangan untuk memperluaskan perlindungan kepada pekerja rentas sempadan adalah satu inisiatif yang sangat baik.

"Saya melihat perkara ini sebagai satu keperluan mendesak demi kebajikan rakyat Malaysia yang mencari rezeki di luar negara," katanya yang sudah bekerja 11 tahun di Singapura.

Shahruddin Haeal (kiri) dan Mohamad Fariz.
Shahruddin Haeal (kiri) dan Mohamad Fariz.

Bagi Mohamad Fariz Mohd Kamal, 38, yang bekerja sebagai penghantar di Singapura berkata angkah itu wajar dilaksanakan kerana ramai pekerja Malaysia terutama yang berulang-alik setiap hari.

Artikel Berkaitan:

"Pekerja kita berdepan pelbagai risiko ketika bekerja, khususnya mereka yang bekerja di jalan raya seperti pemandu penghantaran dan pekerja lapangan.

"Perlindungan ini penting bagi memastikan nasib pekerja terbela sekiranya berlaku kemalangan atau insiden tidak diingini yang boleh menjejaskan keupayaan mereka untuk terus bekerja," katanya yang sudah 16 tahun bekerja di Singapura.

Beliau berkata, cadangan berkenaan sepatutnya sudah lama dilaksanakan memandangkan ia melibatkan pekerja rentas sempadan antara dua negara dan memberi manfaat besar kepada rakyat Malaysia yang mencari rezeki di Singapura.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan akan meminda Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 bagi membolehkan perlindungan tersebut diperluaskan kepada rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara, bermula dengan pekerja rentas sempadan Malaysia-Singapura.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2026 di Bukit Jalil, pada Jumaat.

Menurut Anwar, secara purata satu kematian direkodkan setiap minggu atau kira-kira 54 kes setahun dalam kalangan pekerja rentas sempadan, sekali gus menuntut tindakan segera bagi memastikan kebajikan mereka terus terbela.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!