Kena pandai bahagikan masa

Afif Najmi (kiri), bersama rakan setugas.
Afif Najmi (kiri), bersama rakan setugas.
A
A
A

“SAYA kena pandai bahagikan masa,” Itu reaksi pemain Melawati FC yang juga seorang juruterbang syarikat tambang murah Air Asia Afif Najmi Muhd Izwan 29, bagi mengulas rutian hariannya.

Afif Najmi berkata, rutian hariannya itu menjadi lebih sibuk sejak pandemik Covid-19 melanda di seluruh dunia pada ketika ini hingga mengakibatkan saingan Liga Malaysia (Liga-M) ditangguhkan ke tarikh baharu kelak.

Justeru menurutnya, dia akan mencuba sebaik mungkin untuk membahagikan masa sebaik sahaja saingan Liga-M, kembali bersambung kelak.

“Memang awal-awal ni saya sibuk dengan kerja dan musim lepas saya minta cuti juga untuk datang beraksi dalam perlawanan bersama pasukan.

“Tetapi saya risau selepas wabak Covid-19 ini pulih, penerbangan akan menjadi lebih banyak dan saya kena bersedia, bergantung kepada jadual kerja nanti.

“Oleh itu, saya kena pandai bahagikan masa dan saya akan cuba yang terbaik membantu pasukan pada musim ini,” katanya yang meledak 11 gol musim lalu dan membantu Melawati FC menamatkan saingan M3 pada kedudukan kelapan daripada 14 pasukan.

Tambah bekas pemain futsal negara itu lagi, dia hanya sempat berlatih sebanyak dua kali bersama skuad Melawati Boys musim ini berikutan kesibukan tugasnya selaku juruterbang.

Bagaimanapun katanya, dia tetap melakukan senaman di rumah dalam usaha menjaga dan mengekalkan kecergasan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Afif Najmi berkata, dia tidak akan melupakan pengalaman membawa pulang seramai 55 penumpang dari Tehran, Iran ke Malaysia pada 21 Mac lalu menerusi satu misi khas susulan pandemik Covid-19.

Katanya, misi berkenaan akan diingatinya sepanjang kariernya sebagai juruterbang kerana ia memerlukan prosedur yang cukup rapid an teliti demi menjamin kesihatan semua pihak.

“Penerbangan itu adalah penerbangan dua hala dengan 22 krew melibatkan tiga kapten pesawat, dua pembantu juruterbang serta pasukan perubatan dan terdapat tiga zon penerbangan membabitkan krew kabin, pasukan perubatan serta penumpang melibatkan 46 dari Malaysia, lapan (Singapura) dan seorang dari Indonesia.

“Memang saya penat sangat. Saya juga boleh rasa suasana yang cukup lain daripada yang lain kerana segala prosedur memang cukup teliti; selain taklimat yang memerlukan kami perlu memakai pakaian yang tertutup demi keselamatan semua orang dan setiap penumpang juga perlu melakukan saringan terlebih dahulu sebelum dibenarkan masuk sebagai langkah berjaga-jaga dan bagi saya, ini adalah penerbangan yang paling saya tidak boleh lupakan.

“Apa pun, kami bersyukur semuanya selamat dan tiada seorang pun yang disahkan positif Cvid-19 hasil selepas melakukan pemeriksaan dan saya dikuarantin di rumah selama 14 hari sebelum boleh kembali bertugas,” katanya.