Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu laksana runding cara dalam talian melalui MyVCC

Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu
Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu (JKSTR) memperkenalkan pelancaran perkhidmatan runding cara dalam talian yang dikenali sebagai My Video Consultation Conference atau MyVCC bermula pada 3 Mei lalu.

Ketua Pendaftar, Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu, Noor Afzan Adam berkata, inisiatif baharu ini diperkenalkan sebagai alternatif moden bagi memudahkan pelanggan mengakses khidmat rundingan secara digital tanpa perlu hadir secara fizikal ke bangunan mahkamah.

Menurutnya, ​langkah pendigitalan ini diambil selaras dengan visi jabatan untuk menjadi pemangkin kehakiman syariah yang progresif serta berinovasi dalam memenuhi keperluan masyarakat masa kini.

"Melalui pelaksanaan MyVCC, JKSTR menyasarkan peningkatan kecekapan dalam penyampaian perkhidmatan selain memudahkan urusan konsultasi yang sebelum ini memerlukan kehadiran di pejabat.

"​Selain daripada aspek kemudahan, penggunaan platform sidang video ini secara langsung dapat membantu pelanggan menjimatkan masa serta kos perjalanan," katanya ketika dihubungi di sini pada Selasa.

Beliau berkata, transformasi digital ini dilihat sebagai usaha jabatan untuk memberikan akses yang lebih fleksibel dan efisien kepada sistem mahkamah syariah.

"​Orang awam dan kakitangan di bawah seliaan jabatan yang ingin menggunakan perkhidmatan ini boleh mengaksesnya melalui imbasan kod QR atau pautan khas yang telah disediakan dalam risalah rasmi jabatan.

"Pelaksanaan ini juga menyokong aspirasi 'Terengganu Maju, Berkat, Sejahtera' serta gagasan 'Malaysia Madani' dalam memartabatkan perkhidmatan awam di negara ini," ujarnya.

 

Artikel Berkaitan:

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!