Serangan dron Iran cetus kebakaran besar di fasiliti minyak UAE

Insiden berlaku di Zon Industri Minyak Fujairah di Fujairah, sebuah hab tenaga utama di pantai timur UAE.- Agensi
Insiden berlaku di Zon Industri Minyak Fujairah di Fujairah, sebuah hab tenaga utama di pantai timur UAE.- Agensi
A
A
A

FUJAIRAH – Kebakaran besar tercetus di sebuah fasiliti minyak di Emiriah Arab Bersatu (UAE) selepas diserang dron yang dilancarkan dari Iran pada Isnin, sekali gus menandakan peningkatan semula ketegangan serantau.

Menurut pihak berkuasa, insiden berlaku di Zon Industri Minyak Fujairah di Fujairah, sebuah hab tenaga utama di pantai timur Emiriah Arab Bersatu.

Pejabat Media Fujairah memaklumkan, kebakaran tercetus sejurus fasiliti itu menjadi sasaran serangan dron, dengan pasukan pertahanan awam dikerahkan segera bagi mengawal dan memadamkan api.

Dalam kejadian tersebut, tiga warga India dilaporkan cedera sederhana dan telah dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, Kementerian Pertahanan UAE berkata, pihaknya mengesan empat peluru berpandu kruis dilancarkan dari Iran ke arah negara itu, namun kebanyakan berjaya dipintas oleh sistem pertahanan udara.

“Tiga peluru berpandu berjaya dipintas di ruang perairan wilayah negara, manakala satu lagi jatuh ke laut,” menurut kenyataan itu.

Kementerian Luar UAE mengutuk keras serangan tersebut yang disifatkan sebagai 'pengkhianatan dan tindakan keganasan' terhadap sasaran awam.

Menurutnya, serangan itu merupakan satu 'peningkatan berbahaya' serta ancaman langsung terhadap keselamatan, kestabilan dan kedaulatan negara, selain melanggar undang-undang antarabangsa.

UAE turut menegaskan tidak akan teragak-agak mempertahankan kedaulatannya serta berhak mengambil tindakan balas selaras dengan undang-undang antarabangsa.

Artikel Berkaitan:

Insiden ini merupakan yang pertama dilaporkan sejak gencatan senjata antara Iran dan Amerika Syarikat berkuat kuasa pada April lalu, susulan konflik yang tercetus sejak Februari.

Ketegangan di rantau itu terus memuncak selepas serangan ketenteraan oleh AS dan Israel terhadap Iran, yang kemudian dibalas Teheran dengan serangan ke atas sekutu AS di Teluk, selain menjejaskan laluan strategik seperti Selat Hormuz.- Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!