Iran lancar peluru berpandu, dron amaran kepada kapal perang AS

TEHERAN – Tentera Laut Iran mengesahkan pihaknya melepaskan peluru berpandu dan dron sebagai amaran kepada kapal perang Amerika Syarikat (AS) yang menghampiri Selat Hormuz, menurut kenyataan rasmi pada Isnin.
Dalam kenyataan itu, Iran mendakwa tindakan tersebut diambil selepas kapal perang AS mengabaikan amaran awal dan cuba menghampiri laluan strategik berkenaan dalam keadaan mod gelap dengan mematikan sistem pengesan.
Menurut Teheran, kapal-kapal terbabit kemudian mengaktifkan semula radar ketika cuba memasuki kawasan Selat Hormuz tanpa kebenaran.
“Selepas amaran awal tidak diendahkan, Tentera Laut Republik Islam Iran melepaskan tembakan amaran menggunakan peluru berpandu jelajah, roket dan dron tempur berhampiran kapal musuh,” menurut kenyataan itu.
Iran turut menegaskan sebarang percubaan memasuki Selat Hormuz tanpa koordinasi dianggap melanggar gencatan senjata yang diumumkan awal April lalu.
Sementara itu pihak AS memaklumkan bahawa dua kapal pemusnah Tentera Laut mereka berjaya melalui Selat Hormuz dan memasuki Teluk Parsi walaupun berdepan serangan bersepadu oleh Iran, menurut laporan media AS pada Isnin.
Menurut laporan itu, kapal USS Truxtun dan USS Mason menjadi sasaran pelbagai ancaman termasuk dron, peluru berpandu serta bot laju ketika transit di laluan strategik tersebut.
Bagaimanapun, kedua-dua kapal perang itu tidak mengalami sebarang kerosakan selepas berjaya mematahkan serangan dengan sokongan helikopter Apache dan pesawat tentera lain.- Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

