Pukul bekas isteri: Hukuman penjara 10 tahun Rosmaini dinaikkan kepada 14 tahun

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Mahkamah Rayuan di sini pada Isnin menaikkan hukuman penjara daripada 10 kepada 14 tahun terhadap seorang peniaga yang menyebabkan kecederaan parah terhadap bekas isteri ketiganya, Jahidah Nordin sehingga koma, lima tahun lalu.
Panel tiga hakim, dipengerusikan Datuk Azman Abdullah yang bersidang bersama Datuk Noorin Badaruddin dan Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan supaya tertuduh dikenakan hukuman maksimum.
Noorin berkata, Rosmaini Abd Raof, 43, selaku perayu, dikehendaki membayar pampasan sebanyak RM25,000 kepada Jahidah, 48, melalui wakil keluarga yang menjaganya.
Jika perayu gagal membayar pampasan berkenaan, dia akan dipenjara selama enam bulan.
Mahkamah kemudian menolak rayuan akhir lelaki berkenaan, (rayuan silang) untuk mengetepikan sabitan dan hukuman, sekali gus menyebabkan dia diperintah ke Penjara Kajang serta-merta.
Semasa membaca keputusan sebulat suara, Noorin berkata, kes ini wajar dikenakan hukuman itu sebagaimana diperuntukkan undang-undang kerana ia dapat mencerminkan keseriusan kes selain memenuhi keadilan dan memberi mesej tegas kepada masyarakat.
"Hukuman penjara 10 tahun ternyata tidak memadai atau terdapat kesilapan prinsip, atau kegagalan mengambil kira keseluruhan fakta kes.
"Ini bukan kes menyebabkan kecederaan parah yang biasa, sebaliknya fakta kes menunjukkan suatu serangan yang kejam dan berterusan oleh seorang suami terhadap isteri yang mengandung," katanya.
Selain itu beliau berkata, mahkamah menentukan hukuman dengan mengambil kira tahap keganasan yang melampau, kesan kekal kecederaan yang dialami mangsa, setara dengan kemusnahan kehidupan secara keseluruhan.
Katanya, ia termasuk keadaan bekas isteri yang hamil, impak terhadap anak dalam kandungan dan kepentingan awam dalam membanteras keganasan rumah tangga.
“Hukuman penjara 10 tahun hanya 71 peratus daripada peruntukan maksimum dalam seksyen tersebut.
“Walaupun ia mungkin memadai dalam kes biasa, namun ia tidak mencukupi dalam kes ini.
“Mangsa hidup hanya pada nama, tanpa keupayaan untuk berfungsi sebagai seorang manusia secara bermakna,” katanya.
Selain itu beliau berkata, perayu tidak menunjukkan sebarang penyesalan dan memilih untuk melalui perbicaraan penuh.
Bukan itu sahaja katanya, lelaki berkenaan gagal untuk memberikan bantuan atau sokongan kepada mangsa selepas kejadian.
Jelas beliau, kesalahan itu turut melibatkan pelanggaran kepercayaan yang besar dalam institusi perkahwinan apabila seorang suami bertindak ganas terhadap isteri sendiri.
Katanya, hukuman yang tidak setimpal dalam kes seperti ini akan menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap sistem keadilan dan gagal mencerminkan kecaman mahkamah terhadap perbuatan kejam sedemikian.
Beliau berkata, dua mahkamah bawahan telah terkhilaf apabila gagal memberikan penekanan sewajarnya terhadap tahap kecederaan yang luar biasa serta faktor-faktor pemberat yang jelas wujud.
“Justeru, hukuman yang dijatuhkan nyata tidak setimpal dan memerlukan campur tangan Mahkamah Rayuan.
“Rayuan pihak pendakwa terhadap hukuman, dibenarkan iaitu penjara 10 tahun yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru dan disahkan oleh Mahkamah Tinggi sama, diketepikan,” katanya.
Beliau berkata, mahkamah menjatuhkan hukuman tertinggi di bawah Seksyen 325 dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan.
Katanya, mahkamah menggunakan bidang kuasa di bawah seksyen 426 (1A) Kanun Tatacara Jenayah (CPC) dibaca bersama seksyen 432 CPC yang memerintahkan perayu membayar ganti rugi berkenaan.
Pada 17 Jun 2021, Rosmaini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, atas satu pertuduhan, sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa dengan cara memukul kepala, muka dan tangan serta menghentak kaki di belakang badan isterinya sehingga menyebabkan kecederaan parah.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah pangsapuri di Jalan Tani, Kampung Aman, Larkin jam 6 pagi pada 4 Mei 2021.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan penjara sehingga tujuh tahun dan denda.
Seksyen 326A memperuntukkan hukuman penjara bagi tempoh dua kali ganda tempoh maksimum, jika sabit kesalahan.
Jahidah yang juga bekas kakitangan sebuah jabatan kerajaan, dirawat di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) Seremban, selepas menerima rawatan awal di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.
Jahidah dilaporkan selamat melahirkan bayi lelaki, Eshan Nufail secara pembedahan pada 30 November 2021 dan kanak-kanak itu disahkan berstatus orang kurang upaya (OKU).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

