Britney Spears didakwa memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah

LONDON – Penyanyi pop terkenal, Britney Spears didakwa atas kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah, menurut laporan PA Media/dpa.
Pejabat Peguam Daerah Ventura di negeri California, Amerika Syarikat (AS) memaklumkan penyanyi berusia 44 tahun itu didakwa pada Khamis kerana memandu di bawah pengaruh gabungan alkohol dan dadah.
Pertuduhan tersebut dibuat hanya beberapa minggu selepas Spears secara sukarela mendapatkan rawatan pemulihan (rehab).
Kes berkenaan dijadualkan untuk sebutan di mahkamah pada 4 Mei, namun beliau mungkin tidak perlu hadir secara fizikal, menurut pihak pendakwa.
Jika penyanyi itu mengaku bersalah atas kesalahan memandu secara cuai, beliau bakal dikenakan tempoh percubaan selama 12 bulan, selain perlu mengikuti kelas berkaitan pemanduan di bawah pengaruh (DUI) serta membayar denda dan fi yang ditetapkan.
Menurut Pejabat Peguam Daerah, hukuman tersebut mengambil kira bahawa Spears tidak mempunyai rekod kesalahan DUI sebelum ini, tiada kemalangan atau kecederaan berlaku, serta paras alkohol dalam darahnya adalah rendah.
Penyanyi lagu Toxic itu ditahan pada 5 Mac lalu di California selepas didapati memandu secara tidak menentu.
Polis memaklumkan Spears menunjukkan tanda-tanda berada di bawah pengaruh dan menjalani beberapa ujian ketenangan di lokasi selepas kenderaannya ditahan.
Beliau yang ketika itu bersendirian dalam kereta BMW 430i berwarna hitam ditahan atas kesalahan memandu di bawah pengaruh gabungan dadah dan alkohol sebelum dibawa ke Penjara Utama Daerah Ventura, barat laut Los Angeles.
Seorang wakil sebelum ini menyifatkan insiden tersebut sebagai “tidak sepatutnya berlaku” dan menyatakan ia diharap menjadi titik permulaan kepada perubahan dalam kehidupan Spears.
Menurut wakil itu lagi, ahli keluarga dan orang terdekat akan membantu merangka pelan sokongan bagi kesejahteraan penyanyi berkenaan.
Pada 2007, Spears pernah mengelak perbicaraan jenayah langgar lari selepas membayar ganti rugi susulan insiden pelanggaran kenderaan ketika meletakkan kereta di sebuah kawasan parkir di California.
Penahanan terbaharu ini berlaku selepas Spears menjual sebahagian hak rakaman muzik dan lagu-lagu lamanya kepada penerbit muzik Primary Wave pada Februari lalu, dengan nilai urus niaga tidak didedahkan.
Langkah itu dibuat selepas penamatan konservatori selama 13 tahun pada 2021 yang sebelum ini mengawal keputusan kerjaya dan kewangannya.
Spears yang mempunyai kerjaya lebih dua dekad telah mencatatkan enam single nombor satu di United Kingdom serta lapan album dalam kelompok 10 teratas, selain pernah bekerjasama dengan artis terkenal seperti Madonna, Rihanna, Iggy Azalea dan Backstreet Boys. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
