Kemelut Negeri Sembilan libatkan Pas, bukan Bersatu sahaja – Muhyiddin

Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (kanan) hadir bersama Muhyiddin pada Selasa.
Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (kanan) hadir bersama Muhyiddin pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin memberitahu, kemelut politik di Negeri Sembilan bukan hanya melibatkan isu parti itu sebaliknya turut mengaitkan pembabitan Pas.

Presiden Bersatu berusia 79 tahun itu berkata, ia berdasarkan pendirian atas nama Perikatan Nasional (PN).

“Ini bukan soal Bersatu sahaja, ini juga soal Pas dan kami ambil pendirian atas nama PN.

“Jadi saya fikir, Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Setiausaha Agung PN, Datuk Takiyuddin Hassan yang wajar mengeluarkan kenyataan berhubung isu ini.

“Saya tidak akan mengulas lanjut isu berkenaan,” katanya selepas perbicaraan kes di Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa.

Timbalan Pengerusi PN itu berdepan empat kes salah guna kedudukan untuk suapan berjumlah RM225.3 juta dan tiga pengubahan wang haram (AMLA) sebanyak RM200 juta dihadapi Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sementara itu, di Terengganu pada Isnin, Ahmad Samsuri berkata, gabungan itu tidak menolak kemungkinan bekerjasama dengan BN bagi membentuk kerajaan negeri baharu.

Bagaimanapun, Menteri Besar Terengganu itu berkata, pendekatan berhati-hati perlu diambil dengan memantau perkembangan semasa terlebih dahulu.

Beliau berkata, PN akan melihat dan memantau langkah seterusnya sebelum membuat keputusan kerana segala-galanya boleh berlaku dalam politik.

Artikel Berkaitan:

Pada Isnin, semua 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO dan Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan dilaporkan sebulat suara hilang kepercayaan serta menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Aminuddin Harun.

Langkah itu susulan kemelut pemerintahan yang berlaku, dengan pemakluman rasmi berhubung keputusan berkenaan akan dihantar kepada Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri dan Setiausaha Dewan.

Dewan Undangan Negeri Sembilan mempunyai 36 kerusi, dengan Pakatan Harapan (PH) memegang 17 kerusi manakala PN mempunyai lima kerusi.

Susulan pengunduran sokongan UMNO dan BN, kerajaan negeri pimpinan PH kini tidak mempunyai majoriti mencukupi untuk kekal berkuasa melainkan mendapat sokongan daripada wakil PN.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!