PN tak letak syarat bergabung dengan BN di Negeri Sembilan

Sayed Mohd Hesham (tiga dari kanan) menyampaikan cenderahati kepada Idris (empat dari kanan) selepas menerima kunjungan delegasi Pas Perak di Rumah Media Perak, pada Selasa.
Sayed Mohd Hesham (tiga dari kanan) menyampaikan cenderahati kepada Idris (empat dari kanan) selepas menerima kunjungan delegasi Pas Perak di Rumah Media Perak, pada Selasa.
A
A
A

IPOH – Perikatan Nasional (PN) tidak meletakkan sebarang syarat kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) bagi pembentukan kerajaan di Negeri Sembilan.

Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berkata, pendirian itu selari dengan pendekatan PN yang mengutamakan kestabilan politik serta kebajikan rakyat khususnya dalam situasi semasa yang mencabar.

"Tak ada syarat apa-apa (kerjasama PN di Negeri Sembilan). Kita Pas ini jiwa besar. Di mana bila-bila masa sahaja Pas jiwa besar. Ketika UMNO lemas, 22 bulan, siapa yang hulurkan tangan? Pas.

"Kita tak pernah mengungkit cerita-cerita lama yang berlaku. Kita bersedia untuk bekerjasama demi kepentingan yang lebih besar,” katanya dalam sidang media pada Selasa.

Beliau berkata demikian selepas membuat kunjungan hormat bersama pimpinan Pas Perak ke atas Persatuan Pengamal Media Perak (PPMP) di Rumah Media Perak di sini pada Selasa.

Hadir sama Ketua Pembangkang Perak, Razman Zakaria; Ketua Pemuda Pas Perak, Hafez Sabri dan Pengerusi PPMP, Sayed Mohd Hesham Sayed Idris.

Mengulas lanjut, Idris menjelaskan bahawa keutamaan PN ketika ini adalah mengelakkan berlakunya pilihan raya mengejut yang boleh membebankan rakyat.

Katanya, selain itu PN juga mahu memastikan wujud kepimpinan negeri yang mampu menjamin kestabilan politik.

“Kita tak mahu ada ‘snap election’, rakyat pun susah.

Artikel Berkaitan:

"Kita nak kepimpinan yang boleh mewujudkan kestabilan di peringkat negeri,” jelas Ahli Majlis Tertinggi PN Pusat itu.

Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa PN tidak akan campur tangan dalam hal berkaitan adat atau urusan dalaman negeri, sebaliknya menyerahkan kepada kebijaksanaan rakyat Negeri Sembilan.

Ditanya mengenai kemungkinan kerjasama itu menjadi realiti memandangkan gabungan politik di peringkat Persekutuan berbeza, Idris berkata, perkara tersebut bergantung kepada kebijaksanaan wakil rakyat di negeri berkenaan.

Menurutnya, pihak PN di Negeri Sembilan termasuk wakil rakyat Pas dan Bersatu telah menunjukkan kesediaan untuk menyokong usaha tersebut.

Dalam pada itu, Idris tidak menolak kemungkinan model kerjasama seumpama itu boleh diperluaskan ke negeri lain seperti Perak dan Pahang sekiranya mendapat persetujuan pimpinan.

Pada Isnin, UMNO dan Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan mengumumkan menarik sokongan terhadap Menteri Besar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Pengerusinya, Datuk Seri Jalaluddin Alias, dilaporkan berkata keputusan dibuat secara sebulat suara membabitkan semua 14 ADUN BN Negeri Sembilan susulan krisis adat yang berlaku ketika ini.

Sejurus itu, lima ADUN PN Negeri Sembilan mengumumkan sedia bekerjasama dengan BN bagi memastikan kelangsungan pentadbiran kerajaan negeri.

Bagaimanapun, Aminuddin pada sidang medianya memaklumkan, beliau akan meneruskan tanggungjawab mentadbir negeri biarpun 14 ADUN BN menarik sokongan kepadanya.

Beliau berkata, sudah menyembah maklum mengenai kedudukan semasa ADUN yang menyokongnya kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!