Surau al-Karamah sudah diroboh, proses lancar di bawah kawalan polis

Kerja-kerja meroboh yang dijadualkan pada jam 9 pagi hanya dapat dimulakan sekitar jam 10.55 pagi susulan beberapa perbincangan bersama pihak berkepentingan.
Kerja-kerja meroboh yang dijadualkan pada jam 9 pagi hanya dapat dimulakan sekitar jam 10.55 pagi susulan beberapa perbincangan bersama pihak berkepentingan.
A
A
A

IPOH – Surau lama, Surau al-Karamah di Kampung Seri Keramat, Pasir Putih yang sebelum ini mencetuskan bantahan sudah dirobohkan dalam satu operasi yang dikawal polis pada Isnin.

Tinjauan mendapati, puluhan anggota polis ditempatkan di kawasan berkenaan seawal jam 6.30 pagi dengan laluan ke surau ditutup dari kedua-dua arah.

Sebuah jengkaut turut berada di lokasi bagi melaksanakan kerja perobohan, manakala penduduk setempat dilihat berkumpul bagi menyaksikan proses tersebut.

Kerja-kerja meroboh yang dijadualkan pada jam 9 pagi hanya dapat dimulakan sekitar jam 10.55 pagi susulan beberapa perbincangan bersama pihak berkepentingan.

Proses meroboh Surau al-Karamah di Kampung Seri Keramat, Pasir Putih berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini dengan kawalan polis.
Proses meroboh Surau al-Karamah di Kampung Seri Keramat, Pasir Putih berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini dengan kawalan polis.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, proses perobohan berjalan lancar dan terkawal tanpa sebarang insiden tidak diingini.

Menurutnya, operasi tersebut dijalankan selepas mendapat kebenaran melalui perintah Mahkamah Tinggi Ipoh selaras dengan peruntukan undang-undang.

“Operasi turut melibatkan kehadiran bailif mahkamah, pihak pemaju kawasan perumahan serta agensi berkaitan termasuk Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dan Majlis Agama Islam Perak (MAIPk).

Artikel Berkaitan:

“Langkah ini bagi memastikan proses dilaksanakan mengikut prosedur yang ditetapkan.

“Sepanjang operasi, polis mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara,” katanya.

Laluan ke surau ditutup dari kedua-dua arah bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam.
Laluan ke surau ditutup dari kedua-dua arah bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam.

Pada April 2021, Sinar Harian melaporkan Jawatankuasa Surau al-Karamah memohon campur tangan kerajaan negeri bagi menghalang tindakan merobohkan surau berkenaan.

Bantahan itu kemudiannya mendapat perhatian Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang memberi perkenan agar surau tersebut tidak dirobohkan sehingga surau baharu siap dibina.

Surau baharu siap dibangunkan di tapak lain tahun lalu dengan nama Surau al-Karamah RPT Pengkalan Pertama, lengkap dengan kemudahan yang disediakan oleh MAIPk.

Sementara itu, Pengerusi Surau al-Karamah RPT Pengkalan Pertama, Rosli Mhd Daud berharap semua pihak dapat menerima keadaan tersebut dengan berlapang dada.

Katanya, pelbagai usaha mempertahankan surau berkenaan telah dilakukan sejak sekian lama termasuk melalui saluran undang-undang, namun keputusan yang dicapai perlu dihormati.

“Kita harap penduduk dapat merapatkan saf dan terus mengimarahkan surau baharu yang telah disediakan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!