X

Kindly register in order to view this article
!

Sultan Kelantan berkenan potong emolumen enam bulan

Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V
A
A

KOTA BHARU - Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V berkenan mengembalikan Emolumen Diraja kepada Perbendaharaan Negeri selama enam bulan bermula April ini.

Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Nik Shafirman Nik Hassan berkata, langkah tersebut selari dengan pendekatan diambil Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang mengembalikan semula bayaran tersebut mulai Mac hingga Ogos depan.

"Baginda berharap emolumen Diraja yang dikembalikan itu dapat diuruskan sewajarnya oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan supaya dapat membantu meringankan beban rakyat yang terjejas berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah dilanjutkan," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurutnya, baginda turut mengingatkan seluruh rakyat supaya bekerjasama membantu barisan hadapan negara dengan mematuhi PKP.

Katanya, langkah itu tepat dalam usaha memutuskan rantaian penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Sultan Kelantan turut menghulurkan bantuan sumbangan berupa alatan perubatan untuk hospital-hospital yang merawat Covid-19 di Kelantan.
Sultan Kelantan turut menghulurkan bantuan sumbangan berupa alatan perubatan untuk hospital-hospital yang merawat Covid-19 di Kelantan.

"Sultan Muhammad V turut berharap rakyat dapat bersabar dan melihat PKP dalam konteks positif iaitu meluangkan lebih banyak masa berkualiti bersama keluarga, bermuhasabah dan beribadat.

"Baginda sempat berpesan supaya rakyat sentiasa bertimbang rasa dan saling membantu antara satu sama lain," katanya.

Nik Shafirman berkata, Sultan Kelantan turut menzahirkan penghargaan tidak terhingga kepada seluruh kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia dan barisan hadapan negara kerana memberikan khidmat terbaik kepada negara.

Katanya, baginda turut mengajak rakyat untuk berdoa ke hadrat ALLAH SWT supaya penularan Covid-19 ini dapat dikekang dan barisan hadapan yang sedang berjuang menyelamatkan pesakit sentiasa diberikan ketabahan serta kekuatan dalam melaksanakan tugas mereka.

"Untuk makluman, Tuanku turut menghulurkan sumbangan alatan perubatan kepada hospital yang merawat pesakit Covid-19 di Kelantan.

"Antara peralatan berkenaan ialah peralatan perlindungan diri, 3M Goggles, pelindung muka, termometer dan peralatan kecil unit rawatan rapi (ICU)," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus