Udara Kuala Terengganu hampiri tahap tidak sihat

KUALA TERENGGANU – Kualiti udara di bandar raya ini dilaporkan merosot ke tahap sederhana dan menghampiri kategori tidak sihat apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) direkodkan mencecah 89 pada Isnin.
Situasi itu diburukkan lagi dengan keadaan cuaca panas terik apabila suhu sekitar dilaporkan mencecah 33 darjah Celsius.
Pengarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Kampus Besut, Prof Madya Dr Azman Azid berkata, fenomena cuaca panas serta pergerakan angin yang perlahan dikenal pasti sebagai faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan kepekatan zarah halus PM2.5 di ruang udara.
Beliau berkata, kombinasi suhu tinggi dan keadaan atmosfera yang stabil boleh mempercepatkan pembentukan bahan pencemar sekunder, sekali gus menyukarkan penyebaran pencemar di udara.
"Kawasan bandar seperti Kuala Terengganu lebih terdedah kepada peningkatan IPU walaupun tanpa berlakunya jerebu berskala besar.
"Sehubungan itu, golongan sensitif seperti kanak-kanak, warga emas serta individu yang mempunyai masalah pernafasan dinasihatkan agar mengurangkan aktiviti luar buat masa ini," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.
Mengulas lanjut, Azman turut menyarankan orang ramai agar sentiasa memakai pelitup muka sekiranya perlu berada di luar bangunan serta memastikan pengambilan air kosong yang mencukupi.
Langkah itu katanya, penting bagi mengurangkan kesan pendedahan langsung kepada pencemaran udara dan serangan haba yang boleh menjejaskan kesihatan.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) dan institusi berkaitan agar mempertingkatkan pemantauan kualiti udara secara berterusan dengan memanfaatkan teknologi pintar (IoT).
"Langkah kawalan terhadap pelepasan asap kenderaan serta aktiviti pembakaran terbuka juga perlu diperkukuh bagi mengelakkan situasi menjadi lebih kritikal.
"Walaupun keadaan semasa masih belum mencapai tahap amaran, trend peningkatan bacaan IPU itu menunjukkan keperluan kepada langkah pencegahan awal bagi mengelakkan kemerosotan kualiti udara yang lebih serius dalam tempoh terdekat," ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

