Ahmad Faizal umum portfolio tujuh Exco baharu

Senarai portfolio tujuh Exco kerajaan Perak yang baharu dilantik. Gambar kanan: Ahmad Faizal Azumu
Senarai portfolio tujuh Exco kerajaan Perak yang baharu dilantik. Gambar kanan: Ahmad Faizal Azumu
A
A
A

IPOH - [DIKEMAS KINI] Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu hari ini mengumumkan portfolio tujuh Exco Kerajaan Perak yang baru dilantik.

Menerusi pengumuman yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook livenya, Ahmad Faizal memaklumkan Pengerusi UMNO Perak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan, Datuk Saarani Mohamad akan memikul tanggungjawab sebagai Exco Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna.

Ketua Wanita UMNO Perak merangkap ADUN Kampung Gajah, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin memegang portfolio Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat.

Bagi portfolio Pelaburan, Industri dan Pembangunan Wilayah, ADUN Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya akan memikul tanggungjawab yang sebelum ini dipegang ADUN Sungai Rapat, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin ketika kerajaan Pakatan Harapan.

Sementara itu, ADUN Kuala Kurau, Datuk Abdul Yunus Jamhari yang mewakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pula mengekalkan portfolio yang dipegang sebelum ini ketika menjadi Exco kerajaan negeri PH iaitu Pertanian, Infrastruktur, Tenaga dan Air.

Seorang lagi wakil Bersatu iaitu ADUN Tualang Sekah, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi diberikan portfolio Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pelancongan.

Bagi ADUN Gunung Semanggol yang juga Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria pula, beliau akan memegang portfolio Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan Masyarakat Sivil.

Seorang lagi wakil rakyat Pas, iaitu ADUN Selama, Mohd Akmal Kamaruddin dipertanggungjawabkan sebagai Exco Agama Islam dan Penerangan

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Ahmad Faizal turut mengumumkan portfolio yang dipegangnya iaitu Kewangan, Keselamatan, Tanah, Sumber Asli, Perancangan Ekonomi, Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Integrasi Nasional.

[ARTIKEL BERKAITAN] - Ahmad Faizal dilantik semula Menteri Besar Perak

Beliau berkata, beberapa Exco kerajaan negeri yang dilantik akan turut memangku portfolio tiga lagi Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri yang belum dilantik.

"Saya sendiri akan memangku portfolio Kesihatan manakala Mohd Akmad akan memangku portfolio Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau. Manakala Nolee Ashilin pula akan memangku portfolio Komunikasi dan Multimedia manakala Shahrul Zaman pula akan memangku portfolio Belia dan Sukan.

"Pasukan yang dibentuk ini akan bekerja kuat untuk menggalas cabaran-cabaran yang sedang kita hadapi. Tetapi pada masa sama, pasukan ini juga memerlukan kerjasama, sokongan dan doa seluruh rakyat negeri Perak yang dikasihi dalam mengharungi badai gelora ekonomi kesan daripada wabak Covid-19," katanya.

Mengenai tiga lagi exco yang belum dilantik, Ahmad Faizal menjelaskan beberapa nama ADUN telah disembah cadangkan kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Beliau berkata, bagaimanapun pelantikan baki exco kerajaan negeri itu akan dibuat sebaik sahaja Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditarik balik.

Pada 31 Mac lalu, tujuh ADUN masing-masing terdiri daripada tiga wakil rakyat UMNO, dua daripada Bersatu dan dua daripada Pas mengangkat sumpah sebagai Exco Kerajaan Perak di hadapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Kinta.

Pelantikan Exco kerajaan negeri yang baharu itu dibuat selepas tumbangnya PH apabila Ahmad Faizal mengumumkan mengumumkan membentukan kerajaan Perikatan Nasional di Perak melibatkan gabungan tiga parti pada 9 Mac lalu.

Selepas meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Perak pada 10 Mac, Ahmad Faizal kemudiannya dipilih semula sebagai Menteri Besar Perak ke-13 tiga hari selepas itu mengetuai kerajaan negeri.

INFO

Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu

Pengerusi Jawatankuasa Kewangan, Keselamatan, Tanah, Sumber Asli, Perancangan Ekonomi, GLC dan Integrasi Nasional (memangku portfolio Kesihatan).

Datuk Saarani Mohamad

Pengerusi Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna.

Razman Zakaria

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil.

Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pelancongan (memangku portfolio Komunikasi dan Multimedia).

Datuk Shahrul Zaman Yahya

Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor (memangku portfolio Belia dan Sukan).

Datuk Abdul Yunus Jamahri

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Infrastruktur, Tenaga dan Air.

Mohd Akmal Kamaruddin

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan (memangku portfolio Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau).

Datuk Wan Norashikin Wan Noordin

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.