Guna aset kerajaan: PH jangan langgar prinsip sendiri

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR – Kerajaan PH sewajarnya berpegang dan patuh kepada prinsip integriti yang dicanang sebelum ini termasuklah dalam hal menggunakan aset kerajaan atas tujuan kempen politik menjelang mana-mana pilihan raya.

Penganalisis politik, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, amalan yang terbaik ialah mana-mana menteri atau pemimpin tidak menggunakan aset kerajaan untuk tujuan kempen parti politik.

Bagaimanapun, katanya, jika sebelum ini sudah ‘terguna’ aset kerajaan untuk tujuan itu tanpa disengajakan, diharapkan perkara sama tidak berulang lagi pada masa depan.

“Kalau dah terlepas, diharap jangan ulangi lagi kelak. PH sebelum ini berikrar untuk menjadi kerajaan yang telus, berintegriti dan bersih, jadi tidak sepatutnya aset kerajaan digunakan untuk tujuan kempen politik.

[ARTIKEL BERKAITAN: Jentera kerajaan: Kementerian Pertahanan jawab dakwaan Najib]

“PH mesti patuh dan berpegang kepada prinsip, jangan alpa dan ulangi kesilapan kerajaan sebelum ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Sebelum ini, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyindir Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu yang menggunakan kenderaan rasmi kerajaan untuk urusan PRK Cameron Highlands.

Meskipun Mohamad sudah pun menjawab isu itu iaitu kerana lawatan rasminya sebagai menteri yang dirancang awal, namun Najib berkata, alasan itu masih boleh dipertikaikan.

Artikel Berkaitan:

Ia kerana katanya, pada hari sama juga, Mohamad dilihat hadir ketika proses penamaan calon bagi PRK Cameron Highlands untuk memberikan sokongan kepada calon PH, M Manogaran dari DAP.

"Sejak bila proses penamaan calon parti DAP sudah menjadi urusan rasmi Kementerian Pertahanan?

"DAP dan Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih) tak nampak? Adakah Mat Sabu akan 'claim' (tuntut) duit minyak untuk helikopter dari (Lim) Kit Siang (Veteran DAP) nanti?," soalnya dalam hantaran di Facebook miliknya.

Hantaran terbaharu Najib itu dilihat menyindir PH susulan tersebarnya gambar seorang wanita yang memakai baju berlogo PH sedang mengagihkan duit di media sosial.

Najib dalam hantaran di laman sosial Facebook miliknya menyatakan bahawa pemberian tidak kira dalam bentuk duit minyak atau duit rokok tetap rasuah berdasarkan pendapat hakim apabila mengumumkan keputusan mahkamah untuk membatalkan kemenangan calon BN di Cameron Highlands pada PRU14.

Bagaimanapun, PH menegaskan wang diagihkan dalam gambar yang tular itu merupakan bayaran balik kos petrol kepada sukarelawan mereka.