Misi kalis virus dengan plasma darah

Reza menjadi bekas pesakit Covid-19 pertama mendermakan plasma darah pada 2 April lalu.
Reza menjadi bekas pesakit Covid-19 pertama mendermakan plasma darah pada 2 April lalu.
A
A
A

“BERDASARKAN sejarah, cara ini pernah terbukti berjaya,” ujar Dr Jeffery Henderson, seorang Profesor Perubatan dan Mikrobiologi Molekul di Washington University School of Medicine di Saint Louis, Amerika Syarikat.

Katanya lagi, “Sebelum kita memiliki vaksin, teknik rawatan ini telah digunakan untuk merawat penyakit berjangkit seperti campak dan difteria. Teknik transfusi plasma darah ini juga telah berjaya digunakan sewaktu pandemik selesema tahun 1918.”

Dengan pandemik selesema 1918 digelar ibu segala pandemik selepas meragut kira-kira 50 juta nyawa pada tahun 1918-1919, ternyata rawatan terapi imun ini mempunyai reputasi yang tinggi dalam dunia perubatan.

Malah, beberapa buah filem antarabangsa seperti The Flu dari Korea Selatan turut mengambil inspirasi terapi imun menggunakan serum daripada pesakit lain sebagai penawar.

Maka tidak hairanlah apabila Covid-19 melanda China sebelum merebak ke seluruh dunia, kaedah rawatan plasma darah adalah antara yang sedang giat diusahakan pakar perubatan sebagai harapan penawar Covid-19.

Di Malaysia sendiri, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengesahkan beberapa pesakit wabak koronavirus yang telah sembuh menyumbangkan plasma darah mereka bagi tujuan penyelidikan dan sains.

Salah seorang bekas pesakit Covid-19 yang sembuh pada 14 Mac lalu, Reza Huzairi Zainudin, 41, merupakan individu pertama yang menjadi penderma plasma darah di negara ini.

Berkongsi mengenai pengalaman itu, ujarnya, sebagai individu yang takutkan jarum beliau sedikit terkejut apabila doktor bertanyakan mengenai cadangan Pusat Darah Negara untuk mengambil darahnya.

Artikel Berkaitan:

Kata ayah kepada tiga cahaya mata itu, beliau difahamkan pemilihannya sebagai penderma plasma darah atas beberapa sebab antaranya beliau tiada penyakit kronik, tidak mempunyai sejarah pengambilan ubat dalam jangka masa panjang dan faktor usia.

“Selepas dibenarkan keluar hospital pada 14 Mac, saya hadir ke hospital untuk pemeriksaan kali kedua pada 20 Mac. Pada waktu itu doktor bertanya hasrat Pusat Darah Negara yang mahu mengambil darah saya.

Orang pertama

“Beberapa hari selepas itu, pihak hospital buat ujian dari segi penyakit-penyakit lain seperti hepatitis, HIV dan sebagainya. Pada 2 April saya kemudian ke Pusat Darah Negara di Kuala Lumpur. Pada waktu itu semua persediaan memang dah siap, doktor pun sudah ramai yang tunggu.

“Ada yang ambil gambar dan video untuk dokumentasi sebab mereka maklumkan saya bekas pesakit Covid-19 pertama menjalani proses ini,” imbas Reza Huzairi.

Katanya, proses pengambilan darah menggunakan sebuah mesin khas tersebut mengambil masa kira-kira satu jam, sebelum terhasil satu pek cecair jernih kekuningan iaitu plasma darah.

“Sebelum mula ambil darah, doktor periksa berat saya dan dengan berat 65 kilogram, saya boleh menyumbang 500 mililiter plasma darah yang boleh digunakan untuk dua atau tiga orang pesakit lain.

“Saya dimaklumkan yang plasma darah dengan antibodi yang sama tidak boleh dihasilkan semula oleh syarikat farmasi, jadi doktor bertanya kalau saya mahu derma untuk kali kedua.

“Saya bersetuju menderma kali kedua pada 21 April ini, sebab saya fikir saya tidak boleh pentingkan diri. Malah, apalah sangat derma darah ini, kalau dibandingkan dengan pengorbanan para frontliners. Kalau ujian ini berjaya, sekurang-kurang ia dapat membantu pesakit Covid-19 yang dalam keadaan kronik,” ungkap Reza.

Pakar perubatan dunia masih menjalankan ujian terhadap keberkesanan kaedah plasma darah dalam mengubati pesakit Covid-19.
Pakar perubatan dunia masih menjalankan ujian terhadap keberkesanan kaedah plasma darah dalam mengubati pesakit Covid-19.

Dalam pada itu, menjelaskan mengenai proses transfusi plasma darah, pakar virologi terkemuka Malaysia, Prof Dr Sazaly Abu Bakar berkata, kaedah rawatan itu bukan sahaja memerlukan pengambilan plasma darah daripada pesakit yang telah pulih, bahkan pesakit tersebut mesti mempunyai immunoglobins atau antibodi yang tinggi.

Katanya, antibodi yang tinggi amat penting kerana apabila plasma darah penderma diberikan kepada pesakit lain, ia diharap dapat membunuh virus di dalam badan pesakit itu.

“Bila ambil darah daripada pesakit yang sembuh, darah tersebut akan diuji Pusat Darah Negara terlebih dahulu untuk memastikan darah itu tiada jangkitan, baik penyakit Covid-19 atau apa-apa penyakit lain.

“Kemudian darah tersebut akan diproses untuk membuang sel-sel lain yang tidak diperlukan. Proses itu hanya tinggalkan plasma dan antibodi sebelum diberikan kepada pesakit Covid-19, dengan harapan antibodi tersebut dapat menyembuhkan pesakit Covid-19 lain,” jelas Dr Sazaly mengenai proses transfusi plasma darah.

Risiko tinggi

Bagaimanapun, akui Dr Sazaly, kaedah rawatan tersebut tidak semudah seperti yang disangka selain berisiko tinggi. Apatah lagi, kajian yang dijalankan di luar negara belum menunjukkan hasil yang sangat memberangsangkan setakat ini.

“Ikutkan transfusi darah ini biasa dibuat macam untuk kes penyakit demam denggi, tapi tujuannya lain. Kalau untuk kes denggi, tujuannya hendak stabilkan pendarahan pesakit. Dalam kes Covid-19, untuk beri antibodi melawan virus.

“Cuma dalam kes Covid-19 setakat ini, oleh kerana pengetahuan kita terhadap virus Covid-19 pun masih tidak banyak, kita bimbang dari segi komplikasi, takut ada virus tertinggal atau ada virus lain daripada penderma. Itu antara kebimbangan. Sebab itulah ujian ke atas darah yang diderma oleh bekas pesakit kena dipastikan 100 peratus selamat.

“Sebenarnya di luar negara juga masih dalam ujian. China antara negara yang paling awal buat dan mereka laksanakan ketika itu sebab dalam keadaan mereka tiada ubat lain di tangan,” akuinya.

Dr Sazaly mencadangkan, transfusi plasma darah lebih wajar digunakan sekiranya situasi benar-benar mendesak seperti tiada alternatif ubat lain dan pesakit sudah di tahap unit rawatan rapi.

Ketika ditanya adakah Malaysia dalam keadaan terdesak sekarang ini, jawapan Dr Sazaly, tidak.

“Saya tidak bayangkan penggunaan kaedah transfusi plasma kepada pesakit Covid-19 sebagai cara rawatan yang menyeluruh kecuali dalam keadaan terdesak.

“Bagi saya, ketika ini kita tidak terdesak sebab terdapat beberapa pilihan rawatan yang lebih berkesan, contohnya kombinasi hydroxychloroquine (ubat malaria) dan azithromycin (ubat jangkitan kuman).

“Saya galakkan pengunaan ubat itu dulu. Kita pakai rawatan ini ke atas pesakit yang ada gejala awal untuk kurangkan jumlah orang dijangkiti. Cuma kombinasi ubat ini setakat ini belum diluluskan sebagai preskripsi,” katanya.