Murtad virus paling bahaya

Harussani
Harussani
A
A
A

IPOH - Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria menyifatkan isu murtad sebagai virus paling bahaya yang tidak boleh diletakkan sebagai persoalan peribadi dan kepercayaan konflik sahaja.

Beliau berkata, ia menyentuh soal keselamatan di bawah tanggungjawab kerajaan yang mana kealpaan, kecuaian dan sikap sambil lewa dalam memelihara akan menyumbang kelemahan dan kemunduran Islam pada masa akan datang.

Menurutnya, kira-kira sedekad lalu, beliau pernah membangkitkan isu berkenaan yang telah memimbulkan keresahan terhadap masyarakat Islam, malah kedapatan juga para ilmuwan yang mempertikaikan kenyataan seolah-olah itu pernyataan kosong tanpa dapatan fakta dan angka.

"Sedarkah kita bahawa jika ia konflik kepercayaan bersifat peribadi, mengapa begitu agresif Saidina Abu Bakar r.a memerangi golongan ini ketika zaman pemerintahannya? Ini menunjukkan betapa seriusnya kesalahan murtad ini yang merupakan perbuatan keji dan ALLAH SWT mengancam pelakunya dengan azab yang sangat besar.

"Isu murtad bukanlah hak individu seperti yang difahami sesetengah pihak atas dasar kebebasan beragama, malah menyentuh soal keselamatan di bawah tanggungjawab kerajaan," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Terdahulu, tular di media sosial video klip pengakuan murtad seorang lelaki disyaki berbangsa Melayu yang mengisytiharkan dirinya sebagai seorang penganut Kristian berstatus Pastor.

Mengulas lanjut, Dr Harussani menyifatkan individu berkenaan gagal memahami Islam daripada sumber yang benar biarpun berada di persekitaran keluarga Muslim.

"Pernyataan beliau yang meyakini bahawa anutan barunya itu benar berdasarkan perubahan sikap yang kononnya bertambah baik berbanding ketika Islam terlalu dangkal.

Artikel Berkaitan:

"Keabsahan Islam itu tidak cuba dihayati, silauan tentang kepercayaan dan anutan lain diambil tanpa ilmu dan kefahaman yang betul," katanya.

Beliau berkata, isu berkenaan perlu diatasi secara kolektif agar semua pihak tidak terleka lebih-lebih lagi pada ketika negara sedang berdepan dengan penularan wabak koronavirus (Covid-19), persengketaan politik, kemelesetan ekonomi dan pelbagai ujian lain.

Katanya, satu daripadanya dengan menghentikan penyebaran video itu di media sosial kerana hanya membawa kepada tindakan mempromosikan individu berkenaan secara tidak langsung.

"Saya juga mencadangkan laporan kepada pihak berkuasa dibuat untuk menunjukkan kebencian terhadap perbuatan keji itu.

"Bersama menyedarkan kerajaan, pihak berkuasa dan seluruh lapisan masyarakat yang memelihara agama (hifz ad-din) berada di bahagian terpenting berbanding dengan maqasid yang lain.

"Juga menyedarkan tanggungjawab pemerintah terhadap rakyat, ibu bapa terhadap anak-anak, guru terhadap anak didiknya, majikan terhadap pekerjanya bahawa nilai iman dan Islam adalah anugerah ALLAH SWT yang paling berharga daripada nilai harta benda di dunia ini," katanya.