Lagi vesel nelayan asing tangkap ikan bawah 12 batu nautika dari pantai ditahan

Vesel nelayan tempatan Kelas C yang menangkap ikan di bawah 12 batu nautika dari pantai perairan negeri ini. Foto Maritim Pahang.
Vesel nelayan tempatan Kelas C yang menangkap ikan di bawah 12 batu nautika dari pantai perairan negeri ini. Foto Maritim Pahang.
A
A
A

KUANTAN – Aktiviti vesel nelayan tempatan Kelas C yang menangkap ikan di bawah 12 batu nautika dari pantai dieksan berulang apabila sebuah lagi vesel ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pahang dalam operasi di perairan negeri ini pada Ahad.

Pengarah Maritim negeri, Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab berkata, vesel terbabit berada dalam keadaan mencurigakan sebelum diperiksa ketika sedang bersauh serta menjalankan aktiviti menangkap ikan di kedudukan kira-kira 6.2 batu nautika tenggara Tanjung Agas.

Menurutnya, penahanan dilakukan kira-kira jam 1 pagi oleh bot ronda Maritim Malaysia semasa Op MAKMUR dan Op TIRIS dilaksanakan di kawasan berkenaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati vesel berkenaan dikendalikan lima kru termasuk tekong, kesemuanya warga Vietnam berusia antara 26 hingga 43 tahun.

"Kesemua mereka disyaki melanggar syarat lesen di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menjalankan aktiviti menangkap ikan di kawasan kurang 12 batu nautika dari pantai," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Selain itu Mazlan berkata, mereka turut disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana memiliki dokumen pengenalan diri yang meragukan.

Beliau menambah, vesel bersama kru dan hasil tangkapan kira-kira 20 kilogram kemudian diiring masuk ke Jeti Pernepa Kuantan Slipway sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

Mengulas lanjut Mazlan berkata, tangkapan berkenaan membuktikan masih terdapat pihak yang tidak serik melanggar undang-undang maritim walaupun penguatkuasaan dipertingkatkan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah maritim atau kecemasan di laut boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau 999 untuk tindakan segera," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!