Iran beri amaran serangan balas jika gencatan senjata dicabuli

TEHERAN – Komander Pasukan Aeroangkasa Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC), Brigedier Jeneral Seyyed Majid Mousavi, memberi amaran bahawa sebarang kesilapan musuh selepas tempoh gencatan senjata akan dibalas dengan serangan ke sasaran yang ditentukan rakyat Iran.
Dalam mesej yang disampaikan kepada rakyat Iran pada Selasa, beliau menegaskan bahawa IRGC bersedia sepenuhnya untuk mempertahankan negara daripada sebarang bentuk pencerobohan susulan tamatnya gencatan senjata dua minggu pada malam Selasa.
Mousavi berkata, jika pihak musuh melampaui batas dan melakukan sebarang tindakan agresif terhadap Republik Islam Iran selepas gencatan senjata, pasukannya akan melancarkan serangan ke mana-mana lokasi yang diarahkan rakyat.
“Pada hari ini, kami datang kepada anda untuk menyatakan ikrar kami: jika selepas gencatan senjata musuh melampaui batas dan melakukan sebarang pencerobohan ke atas bumi ini, kali ini sasaran kami adalah di mana sahaja yang anda arahkan,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan mendalam kepada rakyat Iran yang terus memenuhi jalan raya dan dataran bandar selama lebih 50 hari sebagai tanda sokongan kepada angkatan tentera negara sepanjang konflik yang digelar sebagai perang ketiga yang dipaksakan.
Menurutnya, sepanjang tempoh tersebut, anggota IRGC kekal berada di posisi pelancar peluru berpandu selama 40 malam dan hari, selain terus berjaga-jaga sepanjang tempoh “kesunyian ketenteraan” atau gencatan senjata.
“Anak-anak anda berdiri di sisi pelancar peluru berpandu selama empat puluh malam dan hari, memperlihatkan kelemahan kuasa besar dunia. Dalam tempoh gencatan senjata pula, mereka terus berwaspada, tangan sentiasa di picu, bersedia mempertahankan tanah bersejarah ini dan tamadunnya yang berusia ribuan tahun,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Mousavi turut mengeluarkan amaran keras kepada negara-negara jiran di rantau Asia Barat agar tidak bekerjasama dengan pihak musuh, khususnya Amerika Syarikat.
Beliau berkata, sekiranya wilayah dan sumber negara-negara jiran di selatan digunakan oleh Washington untuk menyerang Iran, maka negara terbabit perlu “mengucapkan selamat tinggal” kepada pengeluaran minyak di rantau itu.
“Biarlah jiran-jiran di selatan mengetahui bahawa jika tanah dan sumber mereka digunakan oleh Amerika untuk menyerang bangsa Iran, mereka perlu melupakan pengeluaran minyak di Asia Barat,” katanya.
Laporan menyebut, gencatan senjata selama dua minggu itu dijadual berakhir pada malam Selasa ketika rundingan pusingan seterusnya masih menemui jalan buntu, selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, secara unilateral mengumumkan lanjutan tempoh tersebut.
Setakat ini, Iran masih belum memberikan maklum balas rasmi terhadap pengumuman itu, namun telah memberi amaran bahawa sekatan laut yang disifatkan sebagai haram oleh Amerika Syarikat mesti ditarik balik dengan segera.
Konflik antara Iran dengan pakatan Amerika Syarikat-Israel dilaporkan bermula pada Februari lalu sebelum terhenti 40 hari kemudian selepas Washington bersetuju dengan cadangan 10 perkara yang dikemukakan Teheran sebagai asas kepada penamatan perang secara kekal.
Bagaimanapun, pihak Iran mendakwa Amerika Syarikat berulang kali melanggar syarat gencatan senjata.-Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

