AKAR gesa kaji semula peranan PPPK, dakwa pendekatan tidak efektif

Akar bimbang pendekatan PPPK dalam mengendalikan krisis tenaga ketika ini dilihat gagal memainkan peranan secara berkesan. Gambar hiasan
Akar bimbang pendekatan PPPK dalam mengendalikan krisis tenaga ketika ini dilihat gagal memainkan peranan secara berkesan. Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Angkatan Karyawan Nasionalis (AKAR) menggesa satu penilaian menyeluruh dilakukan terhadap peranan dan keberkesanan Pasukan Petugas Pengurusan Krisis (PPPK) di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) termasuk keperluan penstrukturan semula sekiranya badan itu terus gagal menangani krisis tenaga dalam kadar segera.

Menurut AKAR, gesaan itu dibuat susulan kebimbangan terhadap pendekatan PPPK dalam mengendalikan krisis tenaga ketika ini yang dilihat bukan sahaja gagal memainkan peranan secara berkesan, malah seolah-olah mengambil pendekatan pasif sehingga menghambat usaha kerajaan dalam menangani krisis tenaga global yang semakin meruncing.

"Dalam keadaan dunia berdepan ketidaktentuan bekalan tenaga, tekanan inflasi serta gangguan rantaian bekalan, negara memerlukan tindakan fiskal yang pantas, terselaras dan berpaksikan realiti semasa.

"Bagaimanapun, PPPK dilihat tidak menunjukkan sebarang kesegeraan atau keberanian untuk mencadangkan pakej rangsangan fiskal yang benar-benar menyokong rakyat dan sektor perniagaan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Lebih membimbangkan, AKAR berpandangan, pendekatan tidak proaktif PPPK memberi gambaran seolah-olah wujud elemen boikot senyap terhadap usaha Perdana Menteri yang sejak awal telah menggerakkan pendekatan menyeluruh termasuk libat urus langsung dengan pemain industri, pimpinan negeri serta rakan serantau.

"Ketika kepimpinan negara bergerak pantas dalam mod krisis, PPPK sebaliknya masih terperangkap dalam pendekatan birokratik yang tidak selari dengan keperluan mendesak di lapangan," ujarnya.

Menurut AKAR, keadaan tersebut berpotensi menjejaskan keberkesanan dasar serta keyakinan rakyat dan pelabur terhadap keupayaan kerajaan bertindak secara bersepadu.

"Dalam situasi genting seperti ini, tiada ruang untuk sikap berkecuali atau pendekatan seperti biasa. PPPK seharusnya menjadi pemacu utama kepada penyelarasan dasar dan rangsangan fiskal, bukannya menjadi penghalang kepada momentum yang telah digerakkan di peringkat kepimpinan tertinggi," tambah kenyataan itu.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!