Mendapan Jambatan Sungai Pulai: Kerja pembaikan kekal mula Julai ini

SHAH ALAM - Kerja pembaikan kekal di beberapa lokasi mendapan di jajaran Jambatan Sungai Pulai, Pontian, Johor dijangka bermula pada Julai depan selepas proses pelantikan kontraktor dimuktamadkan.
Kementerian Kerja Raya (KKR) memaklumkan, Surat Setuju Terima (SST) bagi pelantikan kontraktor dikeluarkan pada bulan itu dengan tempoh pelaksanaan kerja pembaikan dianggar mengambil masa setahun.
Menurutnya, perkembangan tersebut susulan pemuktamadan reka bentuk baharu pembaikan menggunakan kaedah sistem 'piling' oleh pihak pemaju Seaport World Wide Sdn Bhd bersama-sama perunding kejuruteraan yang dilantik.
"Pihak pemaju kini perlu mengemukakan Pelan Pengurusan Trafik kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Johor untuk kelulusan sebelum kerja pembaikan kekal dapat dilaksanakan.
"Proses pelantikan kontraktor dijangka mengambil masa sekitar tiga bulan dengan Surat Setuju Terima (SST) dijangka dikeluarkan pada Julai 2026," menurut kenyataan itu pada Selasa.

Pada 12 April lalu, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan mengadakan tinjauan ke lokasi bagi menilai keadaan semasa jambatan susulan kebimbangan pengguna jalan raya serta teguran kerajaan negeri.
Isu mendapan itu timbul hasil audit penerimaan jalan oleh JKR Johor pada Jun 2023 yang mendapati kadar mendapan jalan melebihi julat dibenarkan iaitu lebih 300 milimeter (mm), sekali gus memerlukan tindakan pembaikan menyeluruh.
Susulan itu beberapa siri perbincangan telah diadakan bersama pihak pemaju bagi mengenal pasti kaedah pembaikan yang sesuai, termasuk cadangan penggunaan sistem Extended Polystyrene (EPS) yang mendapat ulasan serta kelulusan rekabentuk daripada Cawangan Kejuruteraan Geoteknik JKR pada 2 Mei 2024.
KKR menjelaskan sepanjang tempoh tersebut, pihak pemaju bertanggungjawab sepenuhnya terhadap penyelenggaraan laluan jambatan termasuk kerja pembersihan jalan, penyelenggaraan bahu jalan, longkang, culvert, pemotongan rumput, tampalan jalan, penyelenggaraan perabot jalan serta lampu jalan sehingga ia diserahkan secara rasmi kepada JKR Daerah Pontian.
"KKR akan memantau rapi perkembangan pelaksanaan pembaikan ini dan memastikan semua tindakan yang diambil selaras dengan piawaian teknikal serta kepentingan keselamatan awam," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

