Wanita maut tersepit dalam nahas dua kenderaan

Noor Azirah yang menaiki van tersebut disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas KKM. Foto: JBPM
Noor Azirah yang menaiki van tersebut disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas KKM. Foto: JBPM
A
A
A

TASEK GELUGOR – Seorang wanita maut selepas tersepit dalam kemalangan melibatkan sebuah kereta dan van milik sebuah syarikat kurier di Kampung Besar, di sini pada Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.06 malam itu, mangsa, Noor Azirah Che Umar, 35, yang menaiki van tersebut disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, kemalangan tersebut melibatkan sebuah Perodua Kelisa dan sebuah van Toyota Hiace yang membawa barangan kurier.

“Van berkenaan dinaiki tiga mangsa iaitu sepasang suami isteri, manakala kereta dipandu seorang lelaki.

“Seorang mangsa wanita didapati tersepit di bahagian hadapan van,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Anggota bomba menjalankan kerja penyelamatan di lokasi kejadian.
Anggota bomba menjalankan kerja penyelamatan di lokasi kejadian.

Menurutnya, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tasek Gelugor yang tiba di lokasi pada jam 8.11 malam bertindak menjalankan kerja-kerja menyelamat menggunakan peralatan khas.

“Mangsa berjaya dikeluarkan pada jam 9.06 malam, namun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Artikel Berkaitan:

“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” ujarnya.

Beliau menambah, suami mangsa berusia 37 tahun mengalami kecederaan di bahagian kepala, manakala pemandu kereta iaitu lelaki berusia 55 tahun cedera ringan.

“Kedua-dua mangsa yang cedera telah dihantar ke hospital oleh pihak KKM untuk rawatan lanjut.

“Operasi yang melibatkan lapan anggota bomba bersama dua jentera itu tamat sepenuhnya pada jam 10.21 malam selepas keadaan disahkan selamat,” katanya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!